Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini. Artikel ini akan menyebut istilah ulama UMNO atau ulama pro-UMNO.
Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.
Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.
Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.
Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang ‘ala ulama Umno’ hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.
Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.
Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran ‘kurang luas’ golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.
Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang ‘oksigen keluasan ijtihad’ atau hanya gas perkauman dan fahaman ’sempit’ agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.
Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?
Dimanakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?
Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.
Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.
Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai ‘ala-ala Taliban’?
Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.
Peguam bukan Islam
Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.
Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.
Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.
Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?
Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?
Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!
Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?
Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina ‘Ali dalam pertikaian baju besi.
Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.
Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.
Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.
Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.
Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.
Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!
Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan ’sijil awak tidak laku’.
Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?
Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.
Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.
Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.
Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.
Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.
Isu kalimah Allah
Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk ‘ala Umno‘ yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.
Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.
Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.
Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.
Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari ‘mufti’ yang setia berkhidmat itu?
Isu masuk masjid
Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.
Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.
Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.
Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar’iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.
Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!
Isu Sebat
Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.
Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.
Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.
Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.
Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.
Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.
Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!
Perarakan Maulid
Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.
Artikel saya ‘Melayu dan Mamak Penang’ boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.
Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.
Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!
Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?
Barah
Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.
Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.
1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.
Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.
Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.
PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang ‘narrow-minded’ dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.
Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.
Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!
0 comments:
Post a Comment