Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

29 May, 2010

Projek RM39 Juta Atasi Krisis Bekalan Air Di Seluruh Kelantan - Bernama

KOTA BAHARU, 28 Mei (Bernama) -- Krisis bekalan air yang membelenggu rakyat Kelantan dijangka dapat diatasi sebelum penghujung tahun ini apabila kerajaan negeri mula melaksanakan beberapa projek melibatkan kos RM39 juta.


Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata antara projek berkenaan ialah menaik taraf empat loji rawatan air (LRA) iaitu di jajahan Jeli, jajahan Machang (LRA Bukit Remah dan LRA Merbau Chondong) dan LRA Chica di Kota Baharu.

"Projek naik taraf LRA Jeli menelan kos RM11 juta dan dijangka siap Ogos ini bagi membekalkan air bersih di seluruh jajahan itu.

"Projek naik taraf LRA Bukit Remah dan Merbau Chondong pula menelan kos sebanyak RM15 juta dan juga dijangka siap pada Ogos ini. Kedua-dua loji akan membekalkan air bersih kepada beberapa jajahan iaitu Pasir Puteh, Machang, Kok Lanas/Kemubu dan Tanah merah," katanya selepas Kuliah Jumaat, di sini pada Jumaat.

Projek naik taraf LRA Chica pula menelan belanja RM13 juta dan akan menyelesaikan masalah bekalan air di sebahagian jajahan Kota Baharu iaitu di Pengkalan Chepa dan Kemumin serta jajahan Bachok, katanya.

Di samping itu, kerajaan pusat pula sedang meneliti cadangan membina satu benteng konkrit merintangi sungai Kelantan untuk meningkatkan paras air bagi membolehkan beberapa pam utama di sepanjang sungai Kelantan mengepam air yang cukup kata beliau.

Selain itu Nik Aziz berkata kerajaan negeri turut mengarahkan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil langkah segera menyelesaikan isu bekalan air di beberapa kampung di jajahan Machang, dan di Jelawat, Bachok.

Masalah di kawasan Machang akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan setengah apabila AKSB memasang pam penggalak bagi meningkatkan tekanan air di tangki simpanan air Loji Merbau Chondong, katanya.

Bagi penduduk Jelawat dan sekitarnya pula, kerajaan negeri mengarahkan penggalian dua buah telaga termasuk pemasangan dua pam yang akan meningkatkan bekalan air sedia sebanyak 2 juta liter lagi.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.