SHAH ALAM, 1 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor bercadang membina 1,442 unit rumah teres berkembar di atas tanah seluas 55.8 hektar di bawah pelan pembangunan Bukit Botak sebagai jalan penyelesaian kepada isu projek pemindahan setinggan Bukit Botak, di Selayang.
Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan Isnin berkata rumah itu akan dijual kepada peneroka dan pemilik tanah di kawasan itu pada harga RM90,000 walaupun nilai sebenar harga pasaran dianggarkan sekitar RM175,000.
Dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi yang dibina di atas kawasan seluas 2,200 kaki persegi serta reka bentuk moden yang mempunyai nilai komersil yang tinggi, projek yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa 20 hingga 24 bulan itu dijangka memberi imej baru kepada kawasan Bukit Botak.
"Cadangan pembangunan ini hanya dapat dilakukan setelah terbatalnya perjanjian di antara penduduk dan pemaju sebelumnya berikutan pengambilalihan semula tanah Bukit Botak," menurut kenyataan itu.
Menurutnya pengambilalihan tanah daripada pemaju yang diumumkan oleh kerajaan negeri sebelum ini adalah untuk mengembalikan hak penduduk.
Menurut kenyataan itu peneroka dan pemilik tanah yang bersetuju dengan cadangan berkenaan perlu menandatangani borang yang disediakan oleh Pejabat Tanah Gombak sebelum dokumen lanjut untuk mengesahkan pemilikan rumah disediakan.
"Bagi mereka yang bersetuju dengan cadangan ini, tetapi tidak berminat untuk menetap di Bukit Botak atau mereka yang tidak layak menerima pinjaman bank pula, kerajaan negeri boleh menjual rumah bagi pihak mereka pada nilai komersil dan semua hasil jualan akan diserahkan pada mereka," menurut kenyataan itu.
"Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pelan pembangunan Bukit Botak itu pula, mereka hanya layak menerima pampasan pengambilalihan semula tanah mereka oleh kerajaan negeri dan tidak berhak ke atas rumah yang bakal dibina," tambahnya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment