Kelantan Tuntut Royalti, Tolak Ehsan
Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Memahami firman Allah yang berbunyi:
Maksudnya; ”Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberikan bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji, dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangannya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.”
[Surah an-Nahl (16) ayat 90]
Pokok kepada kemuliaan akhlak adalah berlaku adil kepada semua orang. Lebih-lebih lagi terpikul ke atas bahu setiap pemimpin dan Kerajaan, hendaklah berlaku adil kepada semua rakyatnya.
Seterusnya, Allah menjelaskan keadilan perlu dilaksanakan oleh setiap kerajaan tidak kira Pusat mahupun Negeri, firmanNya:
Maksudnya; “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan mu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepada mu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, karena yang demikian itu ia akan menyesatkan mu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
[Surah Shaad (38) ayat 26]
Lebih-lebih lagi, apabila berlaku pertikaian di antara pihak-pihak tertentu, misalnya antara kerajaan Pusat dengan Negeri, maka menjadi tanggungjawab untuk dilaksanakan secara adil butiran pertikaian tersebut. Ini kerana Allah telah memberi peringatan agar pihak-pihak yang terbabit kembali mematuhi hukum Allah. Firman Allah;
Maksudnya; “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya! Jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; Jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
[Surah al-Hujuraat (49) ayat 9]
Hakikatnya, suara rakyat Kelantan sepakat untuk menuntut hak atas perjanjian royalti minyak yang telah dimateraikan antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan sejak 1975 lagi. Atas perjanjian itu jugalah, maka Kerajaan Negeri turut mengambil tanggungjawab untuk menuntut hak keadilan mendapatkan royalti minyak, bila mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak diberi hak, dan suatu ketika negeri Terengganu turut diberi wang royalti minyak.
Malang sekali, pihak Kerajaan Pusat banyak membuat dalih. Mereka tidak mahu berlaku adil untuk Kelantan. Mereka telah mereka-reka pelbagai tafsiran di sebalik perjanjiian yang dibuat. Malah telah memalingkan hakikat keadilan kepada keputusan yang zalim. Mereka menolak membayar royalti, dan menukar royalti kepada wang ehsan !! Jelas, keputusan Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara tersebut di parlimen pada 4 November 2009 lalu adalah menzalimi seluruh rakyat Kelantan. Ia juga penghinaan kepada Kerajaan Negeri. Malah pengumuman Perdana Menteri itu adalah berlapikkan alasan dan hujah palsu, kononnya kelayakan membayar royalti dalam jarak tiga batu nautika. Maka semua itu adalah peraturan kolot yang tak sesuai dipakai pada zaman serba canggih dan zaman kesedaran maklumat ini.
Persoalannya, apa bezanya hasil perut bumi lain di Kelantan ini dengan hasil minyak. Hasil galian dan logam seperti emas, besi, balrite, dan sebagainya diberi hak kepada Kerajaan Negeri, kenapa pula hasil minyak dan gas yang juga dari perut bumi Negeri ini tidak nak diberi hak kepada Negeri. Kemudian, apa pasal pula Pusat memandai-mandai buat undang-undang nak beri ehsan kepada Negeri, sedangkan hasil itu digali dari perut bumi Negeri. Hakikatnya, pihak Kerajaan Pusat di Putrajaya tak ada setitik pun minyak, tapi mereka membolot kesemuanya.
Apa yang berlaku ialah minyak sudah digali di laut sana, ia tidak di perut bumi Putrajaya, sebaliknya ia digali di Laut Cina Selatan yang jelasnya kalau tidak hak Kelantan, maka ia hak Terengganu atau hak Thailand.
Namun, maklumat yang diketahui umum, minyak sudah dikeluarkan dari laut Kelantan. Tiba-tiba kita di Negeri yang keluarkan hasil minyak nak diberi ehsan. Sepatutnya, kerajaan Negeri yang ada hasil minyak yang beri ehsan kepada Pusat. Ini sudah terbalik, dan sudah tidak berlaku keadilan. Dan orang yang tidak adil adalah orang yang tidak mengikut jalan agama dan melakukan kezaliman. Ingatlah amaran Allah kepada orang yang zalim, Allah berfirman;
Maksudnya; “Pada kesudahannya Kami jadikan engkau ( wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama; maka turutlah akan jalan itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertakwa (yang engkaulah pimpinannya).”
(Surah al-Jaasiyah (45) ayat 18-19)
Atas hujah-hujah keadilan tersebut, maka Kerajaan Negeri Kelantan tetap bertegas tidak akan menerima wang ehsan. Ia bukannya untuk mempolitikkan isu, sebaliknya tindakan Pusat menukar royalti kepada ehsan, tidak mematuhi perjanjian dan berunding dengan Petronas serta berselindung di sebalik nama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebenarnya telah mempolitikkan isu royalti/ehsan ini.
Penegasan kami, sebagai Kerajaan Negeri akan tetap bersama rakyat berjuang bagi memastikan hak dan keadilan bagi mendapatkan wang royalti minyak.
Semuga Allah Yang Maha Esa memberi hidayah kepada pemimpin yang sedang menzalimi rakyat Kelantan. Hentikanlah kerja zalim itu, dan ingatlah akan azab Allah, maka bertaubatlah.
[Semua terjemahan al-Quran bersumberkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman]
0 comments:
Post a Comment