Lim Hong Siang | Feb 02, 2010 06:45:30 pm
Desas-desus mulai tersebar, bahawa Khairy Jamaluddin didesak untuk meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO-nya, atas alasan "kegagalan beliau menterjemahkan hala tuju Pemuda UMNO selari dengan kepimpinan Presiden UMNO, Najib Abdul Razak".![]() Menantu bekas PM Abdullah Ahmad Badawi ini pernah dituding jari sebagai punca kekalahan UMNO-BN dalam PRU ke-12. Kini, beliau pula dipersalahkan kerana gagal menterjemahkan hala tuju perjuangan selari dengan kepimpinan Najib, tanpa menjelaskan apakah sebenarnya hala tuju perjuangan Najib. Seandainya individu Khairy menjadi ikon untuk melambangkan keangkuhan, kezaliman dan kerakusan kuasa UMNO-BN pada PRU ke-12; maka situasinya pada hari ini pula mencerminkan dilema UMNO-BN secara keseluruhannya. Ringkasnya, dilema Khairy terjelma dalam soalan berbunyi, bagaimana berpolitik ala-bandar, dalam sebuah parti yang kubunya bertapak di kampung? Khairy: Selepas PRU ke-12 Jelas, bekas Naib Ketua Pemuda zaman pimpinan Hishammuddin Hussein ini "kurang menonjolkan diri" buat seketika selepas tsunami politik 8 Mac 2008. Untuk tempoh tersebut, seperti rakan seperjuangannya dalam parti, apa-apa yang diperkatakan atau diperlakukan serba tidak kena pada tempatnya. ![]() Dari perspektif kuasa dalam UMNO pula, hubungan bapa mertua-menantu antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Khairy Jamaluddin menyaksikan perubahan dari "saling memanfaatkan" pada mulanya, kepada "saling membebankan" di akhir zaman pemerintahan Abdullah Badawi. Walau bagaimanapun, Khairy berjaya melepaskan diri dari celah antara Khir Toyo dengan Mukhriz Mahathir, apabila Pak Lah akhirnya mengumumkan untuk mengundur diri. Khairy: Selepas pemilihan UMNO Menyedari situasinya dalam UMNO selepas pemilihan parti, Khairy menerima segala-gala yang menimpa pada dirinya. Ketua Pemuda BN ini tetap menahan pengaiban terhadap dirinya apabila tidak diberi sebarang tempat dalam kerajaan, malah perlu mempertahankan keputusan ini dengan alasan presiden mahu dirinya menumpukan masa untuk parti. ![]() Malah, lakonan Khairy dalam 15 Malaysia (15 filem yang diterbitkan pengarah tempatan) berjaya mengubah persepsi sesetengah orang muda terhadap dirinya, apabila beliau sanggup memainkan watak dalam filem untuk mempersendakan dirinya di dunia realiti. Untuk akhbar Cina arus perdana, ucapan sulung Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-60 pada tahun lalu amat menawan hati. Khairy yang pernah berkata "...selagi ada pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Keris Panca Warisan akan kita hunus dan julang selama-lamanya!" dalam perhimpunan UMNO pada November 2007, telah mengubah pendirian dalam masa dua tahun, walaupun kesungguhannya menyerang Anwar sebagai sesumpah politik tidak berubah. "Usaha" sedemikian mungkin belum sempat membawa hasil "sokongan melimpah" dari golongan sasarannya, memandangkan persepsi Khairy yang terlampau negatif pada masa dahulu, tetapi sekurang-kurangnya Khairy tidak lagi atau kurang ditonjolkan sebagai ikon UMNO-BN dengan seribu satu ciri-ciri yang negatif. Yang dikejar tak dapat... Persoalannya, Khairy yang menumpukan fokus politiknya di bandar, kini berdepan dengan realiti bahawa UMNO ialah parti kampung. Contoh yang amat jelas, apabila tercetusnya kontroversi penggunaan kalimah "Allah", Khairy agak sukar untuk berdepan dengan golongan sasarannya - yang menerima maklumat dari saluran media antarabangsa. Demikianlah dilema yang dihadapi oleh politikus yang berusia 34 tahun ini. Lebih-lebih lagi, penampilan dirinya sebagai reformis dalam UMNO-BN masih dipertikaikan oleh mereka yang kritis/skeptikal terhadapnya. Misalnya, walaupun Khairy tidak menjejaki langkah bekas Ketuanya, Hishammuddin Hussein untuk menghunus keris atau mengeluarkan hujah berbaur perkauman, tetapi ucapannya tetap dikritik kerana sekadar menggantikan "Cina" dengan "DAP", maka segala serangannya terhadap DAP dibaca maksudnya sebagai serangan terhadap orang Cina. Kesangsian dan keraguan komuniti bukan Melayu terhadap Khairy mencungkil pertikaian terhadapnya dalam UMNO. Sementara yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Khairy gagal sebagai Ketua Pemuda yang membakar darah Melayu dengan sentimen perkauman dan agama. MyTeam: Believe In Possibilities Kegagalan Khairy boleh dibaca dari dua dimensi. Secara individunya, Khairy sendiri tidak memiliki integriti dan kredibiliti untuk membincangkan perubahan; dari kerangka sistemnya pula, UMNO-BN tidak mungkin berubah selagi kekuatannya bergantung kepada penguasaannya terhadap jentera negara. ![]() ![]() Rancangan realiti ini akhirnya gagal membawa perubahan kepada realiti dunia bola sepak yang dicemari gejala rasuah, sebagaimana yang dijangkakan. Persoalannya, apakah Khairy kini mampu untuk membawa perubahan dalam UMNO-BN? Transformasi UMNO-BN Apa yang berlaku kepada individu Khairy bukan sekadar masalah perseorangan, tetapi melibatkan masalah yang lebih besar jika dilihat dalam konteks politik Malaysia. Untuk sekian lama, UMNO-BN survive dengan penguasaan dan monopolinya terhadap jentera negara, dari pasukan keselamatan, undang-undang, mahkamah, media sehinggalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). ![]() Jelas, "reformis" tidak memiliki tempat dalam UMNO-BN. Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim dipecat dari tempat kedua dalam negara dan parti. 10 tahun kemudian, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim meletak jawatan apabila ISA digunakan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, wartawan dan blogger. Kini, Tengku Razaleigh pula berdepan dengan risikonya apabila bersuara lantang dalam isu royalti minyak Kelantan. ![]() Tengku Razaleigh Hamzah, kini berada di pinggiran UMNO-BN, yang mungkin ditolak, atau melompat sendiri. Persoalannya, apa yang ada pada Khairy Jamaluddin? *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. |
0 comments:
Post a Comment