Harakahdaily
SHAH ALAM, 5 Jan: Kerajaan Negeri Selangor tidak berniat untuk menyangkal hak para penduduk Bukit Botak dan ingin menyelesaikan masalah yang menghantui mereka selama 20 tahun dengan secepat mungkin.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bagi menjamin hak sama rata semua penduduk, kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengambil alih tanah Bukit Botak.
Ini, katanya kerana ia akan melepaskan penduduk daripada perjanjian kontraktor yang telah mereka serta bersama Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB) yang sehingga sekarang gagal memajukan Bukit Botak.
“Perlu diingatkan bahawa perjanjian kontraktor tersebut telah menghalang kerajaan negeri daripada menerajui pembangunan perumahan untuk penduduk Bukit Botak,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini, semalam.
Menurutnya, tanpa perjanjian tersebut, kerajaan negeri akan dapat duduk bersama penduduk dalam merancang pembangunan perumahan.
“Pengambilalihan tanah itu akan sekaligus membatalkan perjanjian kontraktor. Ia tidak akan merampas hak penduduk sebaliknya akan membantu kerajaan negeri mengembalikan hak mereka yang selama ini berada di tangan Delpuri,” ujarnya.
Katanya, keputusan tersebut juga akan memastikan perbelanjaan RM45 juta untuk pembangunan infrastruktur di Bukit Botak menjadi sebahagian daripada kos pembinaan rumah yang akan dibina kelak dan secara langsung mengawal harga rumah agar tidak terlalu mahal.
Tambahnya, pengambilalihan itu juga akan menyelesaikan masalah 270 penduduk asal Bukit Botak yang tidak mempunyai hak milik tanah.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah untuk menjelaskan keputusan dan rancangan pembangunan di mana tarikhnya akan diumumkan tidak lama lagi.
Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap penduduk bertenang agar tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan terutamanya mereka yang akan terjejas akibat pengambilalihan tanah.
“Kami sedar bahawa ada pihak tertentu sedang berusaha menghasut penduduk supaya menentang pengambilalihan kerana mereka akan kerugian jika ianya berlaku. Ada juga yang cuba mengambil alih pembinaan rumah tetapi kami tidak mahu penduduk ditipu lagi,” ujarnya.
Menurutnya, masalah Bukit Botak berpunca dari keputusan yang tidak telus oleh pentadbir yang terdahulu dan adalah penting bagi kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian yang adil, praktikal dan pemilihan kontraktor secara telus dan bertanggungjawab.
0 comments:
Post a Comment