KOTA KEMUNING – Hasrat UMNO untuk menawan semula Selangor dari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan tercapai kerana kepercayaan rakyat terhadap mereka mula tergugat.
“Noh Omar (Datuk Seri) jangan bermimpi di siang hari untuk meneruskan rancangan merampas Selangor dari PR.
“Dia boleh terus gunakan wang rakyat untuk jalankan kempen politiknya tapi keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PR semakin bertambah,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Sri Muda, kelmarin.
Suhaimi berkata, Noh hanya mempergunakan jentera partinya dan wang Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan imejnya dan mencapai hasrat mengambil alih UMNO di Selangor.
“Semua usaha dan kempen yang dijalankan oleh Noh bukanlah untuk kepentingan rakyat tetapi semata-mata untuk menaikkan imejnya dan mencapai hasratnya untuk ambil alih UMNO Selangor.
“Sebagai Menteri, dia gunakan wang kementerian untuk mengembangkan pengaruh politiknya tetapi rakyat Selangor tidak akan tertipu dengan helah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi turut menasihatkan ahli-ahli UMNO agar tidak tertipu dengan muslihat yang dimainkan Noh yang akhirnya akan mengetepikan barisan kepimpinan sedia ada.
“Kita boleh lihat sendiri, walaupun Khir Toyo (Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo) adalah ketua pembangkang di Selangor, namun beliau semakin diketepikan dan pengaruhnya semakin hilang.
“Orang UMNO perlu sedar bahawa gerak kerja Noh hanya untuk menaikkan namanya bagi mendapatkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor apabila Perdana Menteri melepaskan jawatan itu,” katanya.
Sementara itu, Suhaimi turut menyangkal berlaku masalah dalaman melibatkan parti komponen PR iaitu Pas dan DAP seperti yang didakwa pelbagai pihak sebaliknya berpendapat Barisan Nasional (BN) sedang menghadapi krisis dalaman.
“Desas-desus kononnya terdapat pergolakan antara Pas dan DAP menunjukkan UMNO hanya menyalak bukit sedangkan sebenarnya berlaku perbalahan dalam BN iaitu antara MCA, MIC dan PPP sendiri.
“Ini bukan rahsia lagi bahawa mereka sendiri yang mempunyai masalah dalaman dan tidak dapat menerima hakikat kekalahan di Selangor,” katanya.
0 comments:
Post a Comment