Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

23 December, 2009

[Raja Petra] Pusingan Pertama: Kebenaran Terbongkar

Raja Petra Kamarudin


Perbicaraan Rosli Dahlan bermula di Mahkamah Sesyen Jenayah 10 di Jalan Duta, Kuala Lumpur, dengan pemeriksaan balas oleh Dato' Kumaraendran ke atas saksi pertama Pendakwaan, iaitu pegawai SPRM yang bernama Azmi Ismail.


Azmi memberitahu mahkamah bahawa Rosli diberikan notis untuk mengisytiharkan asetnya, walaupun dia bukan subjek siasatan SPRM. Subjek siasatan yang sebenarnya adalah bekas Pengarah CCID, Ramli Yusuff.

Azmi seterusnya menyatakan bahawa Ramli disiasat disebabkan laporan (Laporan Nombor 098/2007), yang dibuat olehnya (Azmi) terhadapnya (Ramli). Asas laporan itu adalah maklumat yang diterimanya (Azmi) melalui laporan lain, yang mana Ramli dikatakan terlibat dalam rasuah.

Azmi mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang maklumat tentang sama ada Ramli telah melakukan jenayah ataupun tidak. Namun demikian, dia tetap membuat laporan terhadap Ramli dan melancarkan penyiasatan atas arahan pihak atasan, yakni bertitik tolak dari satu laporan lain (Laporan Nombor O75/2007) yang dibuat oleh seorang pegawai lain, Saiful Ezral.

Bahkan, laporan yang dibuat oleh Saiful (laporan pertama) tidak pun menyebut nama Ramli. Walau bagaimanapun, Azmi menyebut nama Ramli dalam laporannya (laporan kedua), meskipun laporannya adalah berdasarkan laporan lain yang tidak pun menyebut nama Ramli.

Dalam perbicaraan Ramli yang diadakan secara serentak di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Jalan Duta, Kuala Lumpur, peguam Ramli, Dato' Shafie Abdullah memeriksa balas DPP Kevin Morais yang mengakui bahawa Laporan Nombor 075/2007 yang dibuat oleh Saiful Ezral adalah berdasarkan aduan yang dibuat oleh seorang penjenayah yang bernama Moo Sai Chin.

Perbicaraan turut mendedahkan bahawa:

1) Pada 9 September 2006, Musa Hassan menjadi KPN.

2) Pada 9 Oktober 2006, Moo ditahan di bawah Ordinan Darurat.

3) Pada 9 Disember 2006, penahanan Moo di bawah Ordinan Darurat diubah menjadi Penempatan Terhad di bawah RR0, dan dia tidak dibenarkan keluar dari Tampin, Negeri Sembilan, yakni untuk satu tahun (hingga Disember 2007).

4) Pada 23 Januari 2007, Moo dibebaskan.

Bagi memastikan dirinya dibebaskan, Moo berpakat dengan KPN untuk melibatkan Ramli dalam dakwaan palsu ini.

5) Pada 7 Mac 2007, polis membawa Moo ke pejabat BPR (kini SPRM), di mana dia memberikan kenyataan yang membabitkan Ramli. Menurut Moo, dia merasuah beberapa orang pegawai polis untuk menutup dua kes pembunuhan.

6) Kevin mengakui bahawa kenyataan Moo tidak cukup untuk membabitkan Ramli kerana pembunuhan berkenaan terjadi pada tahun 2002, sedangkan Ramli telah ditukar ke Sabah, yakni sebagai Pesuruhjaya Polis sejak November 2001.

7) Kevin juga mengakui bahawa kenyataan Moo yang membabitkan Ramli hanya berkaitan dengan wang perlindungan yang didakwa diberikan pada tahun 1999. Namun begitu, kenyataan Moo itu hanya dibuat lapan tahun kemudian, iaitu pada 7 Mac 2007 – ini bermakna bahawa ia dibuat selepas KPN membebaskannya dari Penempatan Terhad pada 23 Januari 2007.

Ini bertentangan dengan keseluruhan kes kerana notis yang diberikan kepada Ramli adalah bagi mengisytiharkan asetnya antara 2000 dan 2007, dan bukannya untuk dakwaan rasuah pada tahun 1999.

Sebenarnya, Kevin mengeluarkan notis itu pada 17 Julai 2007. Beberapa hari kemudian, iaitu pada 27 Julai 2007, New Straits Times menyiarkan cerita ‘bocor’ tentang seorang pegawai polis senior yang sedang disiasat kerana tidak mengisytiharkan aset yang bernilai RM27 juta. Nampaknya, segala-galanya mengarah pada Kevin sebagai sumber cerita bocor ini.

Semasa pemeriksaan balas, Kevin mengakui bahawa Ramli dan Ketua Polis Negara (KPN) bermusuh. KPN telah menghalang penganugerahan Pingat Polis kepada Ramli atas alasan bahawa dia sedang disiasat. Maka dia tidak layak menjadi Timbalan KPN dan seterusnya tidak layak untuk menggantikannya sebagai KPN. Keterangan Kevin nampaknya menunjukkan bahawa pokok pangkal siasatan itu adalah bagi menghalang Ramli dari menjadi KPN yang seterusnya.

Mari kita saksikan apa lagi yang akan terbongkar semasa perbicaraan bersambung pada hari ini. Namun demikian, setakat ini, perkara yang diutarakan oleh Malaysia Today sudah mula terungkap. Nah, sekarang tahulah anda mengapa KPN mencari saya di seluruh dunia, bukan? Dia bimbang bahawa Malaysia Today akan mendedahkan peribadinya yang sebenarnya, iaitu seorang manusia yang terkutuk.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.