Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

21 December, 2009

Gerakan bidas Umno mahu singkir Tsu Koon

Gerakan Pulau Pinang hari ini membidas suara-suara yang memperkecilkan parti itu dengan menegaskan ia telah memainkan peranan utama sejak Pulau Pinang diketuai oleh DAP.

"Kami selama ini sentiasa menyokong dan melengkapkan tugas semua wakil rakyat BN setiap kali DUN bersidang," kata pemangku pengerusinya Teng Chang Yeow.

"Lagipun, kami terus mendesak kerajaan negeri yang dikepalai DAP agar bertanggungjawab terhadap keputusan mereka sejak 8 Mac (pilihan raya umum lalu).

"Untuk menyatakan Gerakan tidak lagi aktif di Pulau Pinang memang tidak masuk akal."

Beliau mengulas usaha Umno merebut jawatan pengerusi BN Pulau Pinang, yang kini disandang oleh Tan Sri Koh Tsu Koon, bekas ketua menteri yang juga presiden Gerakan.

Dalam satu kenyataannya, Teng berkata usaha keras parti itu tidak kurang daripada sumbangan Umno.

"Malah, Umno Pulau Pinang memburukkan BN di negeri ini secara keseluruhannya apabila membuat desakan tersebut sedangkan mereka tahu pada kebiasaannya selama ini Gerakan menerajui BN negeri selama 35 tahun dan sebarang perubahan tidak akan boleh diterima oleh Gerakan," katanya lagi.

Teng menggesa pemimpin-pemimpin Umno agar memberikan tumpuan untuk mengambil alih negeri tersebut dan bukannya berebut jawatan sesama sendiri.

"Dan bagaimana BN boleh mendapat semua kerajaan negeri jika kita (BN) terus berebut sesama sendiri," tambahnya.

Sabtu lalu, pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden parti itu, dilaporkan berkata jawatan berkenaan perlu diserahkan kepada Umno dalam usaha mengukuhkan kedudukan BN di peringkat negeri.

Menurutnya, permintaan itu munasabah kerana "hanya wakil Umno telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di negeri itu" dan "parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun" dalam pilihan raya umum lalu.

Koh bagaimanapun dilaporkan menolak permintaan Ahmad Zahid untuk berbuat demikian, antaranya, dengan alasan jawatan tersebut telah disandang oleh Gerakan selama lebih tiga dekad.

Manakala timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman pula berharap Koh menilai permintaan Umno "secara positif" kerana ia mempunyai rasionalnya.

"Jawatan tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti, maka adalah tidak salah permintaan yang dibuat Umno Pulau Pinang itu dipertimbangkan sebaik-baiknya," beliau dipetik berkata.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.