Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

31 December, 2009

Dan Newsmaker 2009 ialah...

Oleh: Hazlan Zakaria.
Malaysiakini memberi penghormatan untuk individu pasrah ini, yang menggerakkan rakyat jelata seluruh negeri, ke jurang kesedihan kesumat dan kemuncak kesedaran sivil sejagat.


2009, tahun yang saban diribut angin dipukul gelombang. Wacana warna-warni, merangkupi hari-hari yang bergelumang, dipenuhi kesudahan bermacam perubahan, serta kesimpulan persengketaan terpendam.

Di arena politik, kita dipentaskan pertukaran paksa perdana menteri, tindak-tanduk pertembungan dalaman komponen parti pemerintah, amukan BN meragut Perak dan percubaan amarah menjarah kerajaan Darul Ehsan.

Tapi pembangkan juga tidak terselamat, dirundung janji yang disemai meraih undi, tatkala menangani kemelut memerintah negeri-negeri yang jatuh ke tangan mereka di dalam pilihanraya sudah.

Pakatan umpama diliut dek sakit gigi dan sengal tulang, bila tiga cabang yang tak padan kena tumbuh seraya satu dahan. Tiga kepala yang kini kena hidup satu badan, merealisasikan nikah politik tiga segagan. Satu proses yang mengilukan, menyeksa hebat batin dan badan.

Tahun ini juga menyaksikan permasalahan dengan kerabat diraja, keturunan raja dan sultan yang 'dipapar' di mata rakyat, dan meghidup kembali rungutan agar kerabat juga ditadbir undang-undang.

Kita juga melihat rentetan demonstrasi sivil dari rakyat jelata, serta serangan virus yang dulunya dipanggil 'selsema babi' (namun telah dilabelkan sebagai H1N1 untuk menghormati perasaan pendengar dan keramat istilah).

Negara kita juga tidak terlepas dari kemelut ekonomi sedunia yang menyaksikan kemusnahan kewangan dan kemuflisan beberapa negara.

Tidak dapat dinafikan yang tahun ini dipenuhi dengan berita dan kejadian yang menggegarkan. Titisan, percikan dan gelombang dari tapak kaki penggerak dan penggegar, mereka yang setinggi gergasi dan sebesar raksasa.
Walaupun begitu, Newsmaker kita tahun ini mengatasi segalanya. Bukan saja dalam mana cara dia menjulang tampuk berita, tetapi lebih kerana gegaran yang dia cetuskan. Suatu gelombang yang merubah rupabentuk minda dan mukabumi sosial negara kita.

Di kalangan gergasi

Bukan gergasi, bukan raksasa, namun dia berdiri tinggi di kalangan mereka.

Dia adalah insan berusia 31 tahun yang ceria, aktif dan rendah diri. Setiausaha politik kepada seorang ahli majlis mesyuarat negeri Selangor. Seorang pemuda yang giat dan bercita-cita tinggi.

Kepada mereka yang pernah mengenali atau bekerja dengannya, mendiang Teoh Beng Hock adalah seorang yang rajin, jujur dan agak kendiri. Hasratnya adalah untuk berkhidmat dalam arena politik untuk membina masa depan yang cerah untuk semua.

Anak kedua termuda dari lima adik-beradik, Teoh datang dari sebuah keluarga yang sederhana. Bapanya seorang pemandu teksi, manakala ibunya seorang suri rumah. Beliau adalah anak pertama dari keluarga tersebut yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Mendiang yang merupakan seorang wartawan akhbar bahasa Cina Sin Chew Jit Poh sebelumnya, tercebur ke dalam kancah politik selepas tsunami politik pasca pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac 2008.

Dia telah diminta oleh ahli politik DAP yang baru ketika itu, Ean Yong Hian Wah untuk mencadangkan sesiapa yang boleh menjadi pembantu politiknya. Teoh sebaliknya secara sukarela menawarkan dirinya untuk berkhidmat dengan Ean.

Apabila Ean Yong menang tanpa disangka di kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan yang dahulunya kubu kuat bagi MCA, pada usia 29 tahun, dia dilantik menjadi ahli majlis mensyuarat kerajaan negeri yang termuda.

Teoh turut serta di dalam perjalanan Ean Yong menyertai pentadbiran kerajaan negeri Selangor, sebagai setiausaha politik exco termuda itu.

Kali terakhir dilihat

Teoh diingati sebagai seorang yang peramah. Dia dikatakan saban bercakap di dalam telefon bimbitnya, mungkin untuk menangani beban kerja yang berat dipikul.

Malah, gambaran inilah yang menjadi ingatan terakhir tentang beliau bagi banyak pihak... dia bercakap di dalam telefon bimbit, ketika berjalan menuju takdirnya di pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Terbentang di hadapannya adalah masa hadapan yang cerah, kerjaya yang cemerlang dan sedang berada di ambang hidup berkeluarga. Dia sepatutnya berkahwin dengan tunangnya yang sedang mengandungkan anak sulung mereka berdua.

Namun, semuanya tidak kesampaian...

Mayat Teoh dijumpai terbujur kaku di tingkat lima aras bumbung Plaza Masalam pada hari berikutnya, kurang beberapa jam selepas dia 'disoal siasat' SPRM.

Kematiannya telah membuka pekung banyak perkara, meraup segenap kupas lapisan, dalam politik, pentadbiran kerajaan dan kemelut yang berbagai macam.

Ianya juga bak menyimbah minyak tanah ke atas unggun khabaran cubaan rampasan kuasa BN di Selangor, menempelak SPRM yang kononya telah disalahguna sebagai alat politik, menyingkap isu ketelusan dalam pengagihan peruntukan bagi ahli parlimen dan ADUN, serta membawa isu kematian misteri tahanan agensi penguatkuasa undang-undang negara ke muka penghakiman rakyat.

Peninggalan beliau

Kemungkinan besar, kematian Teoh terngiang di telinga dan bermain di benak ramai, kerana ia melakuri pengalaman rakyat dewasa kini. Imbasan kisahnya terus menghantui kita, dalam siasatan kematiannya, cakap kosong kedai kopi, perbualan internet dan perbincangan umum.

Ada juga yang mengaku telah 'menurun' roh Teoh, serta mereka yang kononnya telah terlihat bayangan lembaga Teoh menyusuri pelusuk bangunan Plaza Masalam waktu malam.

Lebih kurang dua ribu insan teah menghadiri majlis pengkebumian Teoh Beng Hock. Kisahnya telah menyentuh hati dan mengubah hdup lebih ramai lagi. Walaupun mendiang tidak lagi bersama kita, namun kematiannya telah banyak membantu dalam memulakan perubahan ke arah dunia baru yang dia sememangnya inginkan.

Memori beliau, mengusap hati keluarga dan rakan.

Nama beliau, di mulut aktivis berkumandang.

Wajah beliau, bendera cogan keadilan.

Kisah beliau, manjana mercu kebangkitan.

Tinggalan beliau, mengubat demokrasi kepincangan.

Teoh Beng Hock, Newsmaker 2009.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.