Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

26 January, 2010

Pendirian Kalimah ‘Allah’ Ulama PAS– satu wajah dua sisi?

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat (Atas permintaan, saya dapatkan kepakaran rakan saya Syed Putra untuk menterjemahkan makalah asal -PAS’ Ulama ‘Disunited Stance’ dan hanya mengeditnya bagi mempastikan terjemahan seperti saya maksudkan asalnya).

Saya telah diminta untuk menjelaskan dan memberi rasional kenapa tampak seperti ada dua sudut pandang dan pendirian yang berlawanan di kalangan tokoh-tokoh ulama utama PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan-Islam. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan saya pula berasa amat tidak selesa dengan tugasan ini.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Dato’ Nik Abd Aziz (TGNA) dan Presidennya, DS Hj Abd Hadi Awang (DSHA) mewakili pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh pengikut agama-agama lain itu ‘yajuz’ atau ‘harus’, khususnya agama-agama warisan Nabi Ibrahim (Kristian dan Yahudi), sementara Timbalan Mursyidul Am Majlis Syura Ulama PAS, Dato’ Dr Haron Din (DDHA) (dan juga beberapa buah NGO Islam dan sebilangan ahli akademik) mengambil pendirian berlawanan, iaitu tidak membenarkan penggunaan kalimah itu oleh orang lain.

Saya memang mahu menulis artikel ini lebih awal, tetapi telah mengambil sikap bersabar sedikit untuk membaca tulisan-tulisan yang lain terlebih dahulu, terutamanya yang ditulis oleh para ulama. Justeru ketika tidak mendapati analisis ini, saya menulis juga artikel ini selepas diminta berbuat demikian.
Supaya tidak terlalu panjang dan bagi manfaat orang awam, juga penganut agama-agama lain, saya akan cuba memudahkan wacana teologi yang agak rumit ini. Namun begitu, saya tidak pula dapat mengelak daripada menggunakan beberapa terminologi atau perkataan Arab. Barangkali ia adalah pendedahan yang juga ada kebaikannya untuk sesetengah pembaca.
Secara mudah, kedua-dua pendirian yang berlawanan ini terhasil kerana kedua-duanya melihat subjek ini daripada pendekatan metodotogi yang berbeza, yang bersandarkan dua perspektif yang juga berbeza. Oleh itu, tidaklah memeranjatkan sekirannya ia menghasilkan rumusan yang berlawanan juga.
Lebih menarik, walaupun pendirian dan rumusannya tampak berlawanan, namun kedua-duanya masih berada dalam lingkungan pandangan pemikiran Islam, dan secara umumnya ‘betul’ dalam perspektifnya masing-masing. Jika ia kedengaran mengelirukan atau pelik, mari kita gunakan analogi “satu wajah, dua sisi”. Saya akan berusaha bersikap adil dan objektif dalam hal ini.
Kedua-dua sisi wajah ini pastilah nampak berbeza, tetapi ia masih mewakili wajah yang sama seumpama satu syiling. Kita tidak perlu bertegang leher bagi menentukan sisi mana yang betul atau lebih penting. Ia bukanlah usaha untuk menentukan pendirian yang betul atau salah, sebaliknya yang lebih tepat ialah untuk menentukan pandangan atau perspektif mana yang lebih wajar diambil setelah mengambil kira konteks ruang dan realiti semasa yang tertentu.
Secara mudah, sebagai ad-Deen atau Cara Hidup, Islam berdiri di atas  dua tonggak, iaitu:
1. Aqidah – perkara-perkara berkaitan teologi mengenai Kepercayaan dan Keimanan kepada Allah (dan rukun-rukun Iman yang lain seperti Kenabian, Wahyu dan sebagainya)
2. Ibadah – perkara-perkara berkaitan kepatuhan/pengabdian manusia terhadap Allah SWT.
Kedua-dua tonggak ini merupakan agenda utama Dakwah atau Risalah semua Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad SAW. Dakwah merupakan raison de’etre atau intipati  tugas semua Nabi (Wazifatul Rasul). Dakwah juga adalah sebab dijadikan seluruh semesta alam ini bagi Allah diperkenalkan kepada makhluq dengan perantaraan para anbiya’ dan mursalin melalui Syariat dan Manhaj (Metodologi)  tertentu.
Jika ini telah difahami, maka kita akan beralih kepada usaha memahami kedua-dua sudut pandang di atas.
DDHD berhujah dari perspektif aqidah, sementara TGNA dan DSHA pula mengambil perspektif Dakwah (dan bidang Siyasah Syar’iah – politik dari prisme Syariah – yang lebih luas), tanpa sama-sekali menafikan kepentingan perspektif aqidah.
Dari perspektif disiplin Aqidah Islam, Allah merupakan nama khas Al-Ilah atau Tuhan (lafzul-Jalalah) yang merangkumi ketiga-tiga aspek Keesaan Ketuhanan, iaitu sebagai Pencipta dan Pemelihara (Tauhid Rububiyah), Pembuat Undang-undang (Tauhid Uluhiyah), serta Tauhid Asma’ wa Sifat yang mewakili 99 NamaNya yang terkandung dalam al-Quran (seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Malik, al-Quddus dan lain-lain) serta 20 SifatNya (al-Wujud, al-Baqa’, al-Wahdaniyah dll).
Surah al-Ikhlas (ayat 1-4) menegaskan Ketunggalan Keesaaan Allah ini.
FirmanNya:Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
Berdasarkan huraian di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Keesaan Allah merupakan tonggak terpenting Islam, dan bahawa tidak ada sesiapa atau apa-apa pun yang setaraf, bersekutu atau serupa denganNya. Sejak manusia sedari zaman Nabi Adam AS lagi, telah melakukan pelbagai dosa dengan menyekutukan Allah dengan pelbagai bentuk tuhan, dewa atau anak dan sebagainya, maka Allah telah mengutuskan para Nabi bagi menyucikan kepercayaan kepada Keesaan Tuhan.
Disiplin Usuludin merupakan cabang pemikiran Islam yang berperanan memelihara dan mempertahankan ketulenan dan kesucian keimanan terhadap Keesaan Allah dan rukun-rukun keimanan (Al-‘Aqaid) yang lain. Di kalangan orang Islam, pengetahuan yang mendalam tentang Usuludin dianggap penting dan utama kerana ia berperanan memelihara penganut Islam daripada amalan dan kepercayaan yang salah dan sesat.
Sehingga ke tahap ini, jelas bahawa hujah bagi menyokong penekanan terhadap pengetahuan Umat Islam dalam aspek Usuludin atas perbahasan isu ini, terutamanya pelbagai aspek Aqidahnya, termasuk Nama-nama dan Sifat-sifat Allah adalah meyakinkan dan kukuh.
Menurut metodologi ini, sayugia dijelaskan bahawa Nama Allah adalah termasuk dan dianggap sebagai sebahagian daripada ciri atau milik khusus agama Islam. Hal ini adalah kerana hanya orang Islam sahaja yang menerima dan mengimani Allah sebagai Al-Ilah atau Tuhan seperti yang dihuraikan di atas. Justeru itu maka hanya orang Islam sahaja yang berhak dan layak untuk menggunakan Nama Allah itu kerana penggunaan nama Allah oleh yang golongan agama lain, tidak menjamin maksud yang sama. Apatah lagi ia juga merupakan Lafzul-Jalalah, ia itu nama khas dan istimewa Allah, selain daripada 99 NamaNya yang disebut sebelum ini.
Permasalahan dikesani ketika melampaui peringkat ini, dimana logika pendekatan ini, penggunaanya bukan sahaja tidak dibolehkan kepada orang lain, tetapi ia kini telah turut dikanun atau diundang-undangkan sebagai satu kesalahan oleh beberapa undang-undang negeri-negeri yang sedia ada.
Oleh sebab perkataan itu ditanggappi suci atau kudus dalam Islam, maka ia tentulah tidak boleh digunakan oleh orang lain. Perkataan-perkataan lain yang termasuk ke dalam kategori ini adalah Kaabah, Mufti, Ulama dan sebagainya. Kini ia telah diharamkan dan dijadikan eksklusif bagi umat Islam di sesetengah negeri di Malaysia. Hal ini kini diperdebatkan dengan begitu sengit sekali. Bantahan terhadap pendirian sebegini tampaknya telah menjadi lebih pelik dalam zaman pencerahan maklumat dan pengetahuan sekarang.
Bersekali dengan kebimbangan terhadap salah guna dan ancaman kegiatan mubaligh Kristian di kalangan umat Islam, maka langkah mengharamkan penggunaan kalimah Allah itu ditanggapi golongan ummat Islam ini sesuatu yang tampak kena dan wajar. Penelitian terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 menyerlahkan jalur fikiran dan garis hujah ini. Kes pengharaman edisi bahasa Melayu akhbar mingguan The Catholic Herald oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru kini menjadi kontroversi besar berpotensi menggegarkan negara ini.
Meneliti pendirian yang diambil oleh AJK PAS, yang juga merupakan pendirian TGNA dan DSHA, dalam isu penggunaan Nama Allah membawa kita sekaligus menelusuri konteks Dakwah Nabi Muhammad yang lebih besar – yang mengambil masa selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Al-Quran telah dengan begitu jelas sekali merakamkan bahawa masyarakat yang wujud semasa kemunculan Nabi terakhir, Muhammad SAW, telah turut sama menggunakan perkataan Allah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” . (Luqman:25)
Dari segi teologi, walaupun para penyembah berhala di Mekah menerima Allah sebagai Rabb (Tuhan), namun mereka juga mengadakan berhala-berhala dan sebagainya di sisi Allah dan menganggapnya sebagai tuhan juga. Ketauhidan Allah yang sempurna tidak mereka imani. Bahkan Allah menerangkan apakah sebabnya amalan syirik itu mereka teruskan dalam Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 3: “Tidaklah kami menyembah mereka kecuali untuk kami dapat bertaqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah”.
Pun begitu, kedudukan golongan Ahli Kitab. Lebih jelas lagi, bagi agama-agama warisan Nabi Ibrahim yang lain pula, perkara penggunaan perkataan Allah ini dilihat jelas dalam surah al-Haj, ayat 40.
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya”.
Daripada pelbagai ayat ini, para Mufaseer berhujah bahawa nama Allah bukanlah hak eksklusif orang Islam. Imam Al-Qurtubi (1214-1273), pakar tafsir al-Quran, merumuskan bahawa dalam ayat 40 di atas, Allah bukan sahaja disebut dan dibesarkan di masjid-masjid, tetapi juga ditempat-tempat keagamaan agama-agama warisan Nabi Ibrahim yang lain, terutamanya agama Yahudi dan Kristian.
Selain itu, kita juga merujuk kepada pandangan dua tokoh ulama kontemporari di dunia Islam, iaitu Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili, yang melawat negara kita baru-baru ini, berhubung isu ini.
Kedua-dua mereka bukan sahaja mengaggap penggunaan nama Allah oleh penganut agama samawi (langit) dibenarkan, malah juga adalah digalakkan, sebagai kaedah bagi menyatukan Persaudaraan Kemanusiaan berdasarkan Tuhan yang sama dan Esa (Tunggal). Kesatuan Ummat Islam pula dipaksikan di atas Kesatuan Tauhid. Islam dan agama secara umum wajar menyatukan, dan tidak sebaliknya memecah-belahkan manusia.
Nah, maka jelas bahawa dari sudut nas, kebenaran penggunaan nama Allah ini adalah termaktub dalam al-Quran. Nas, dalam metodologi ‘beristidlal’ seharusnya tidak boleh diatas bahkan mengatasi sumber yang disandarkan kepada sumber-sumber hukum yang lain, ijma’ atau qiyas tambah lagi kalau ianya hanyalah sekadar qawaid fiqhiyyah seperti ‘as-Sadda Zari’ah atau kaedah fiqh bagi menutp pintu-pinti kemudharatan.
Lebih penting, harus juga disedari bahawa keseluruhan al-Quran itu sendiri adalah jelmaan dan penghayatan Dakwah dan Risalah Nabi Muhammad SAW dalam tugas besar baginda menterjemahkan maksud sebenar “Islam sebagai Rahmat kepada Sekelian Alam” – Rahmatan Lil-‘Alamin.
Ternyata pendirian DDHD dan lain-lain akan hanya menatijahkan keterasingan (Disengagment) dan iklim eksklusif, sementara pandangan sebaliknya menekankan peri perlunya Islam dan umat Islam mengambil sikap ‘Inklusif’ dan ‘Keterterliban’ (Engagement) dalam agenda besar Dakwah dan Penampilan Advokasi Politik Islam. Keterlibatan, bukannya Pengasingan, seharusnya menjadi pertimbangan asas para pembuat dasar di peringkat legislatif dan para pemikir di institusi-institusi Islam lain di negeri dan peringkat Pusat.
Walaupun pendekatan Usuludin menekankan kepentingan ketulenan iman di kalangan umat Islam, namun malangnya, secara tidak sengaja, ia turut terserlah dan mengambil bentuk ‘mentaliti-terkepung’ (siege mentality) apabila berhubungan dengan golongan agama dan budaya lain.
Mahu tidak mahu ia akan menjadikan Islam dan nama Allah dan lain-lain perkataan ‘suci’ lain sebagai hak eksklusif orang Islam yang mesti di’lindungi’ dan dipertahankan daripada ‘pencerobohan’ penganut agama-agama yang lain. Kita tidak mungkin boleh berhubung dengan orang lain jika kita bersikap eksklusif. Sebaliknya, kita akan menyudutkan, malah mengasingkan orang lain dengan sikap tersebut.
Selain ia bakal menyuburkan rasa benci, ia juga akan menjadi baja kepada sikap saling tidak mempercayai di antara agama-agama, iaitu sesuatu yang berlawanan sama sekali dengan tujuan Dakwah dan Risalah. Secara umum, ini tidak boleh dipertahankan, malah kelihatan serba songsang dengan mindset ‘Dakwah’ dan “Islam yang Universal”.
Pendirian TGNA dan DSHA yang mewakili pandangan arus perdana PAS telah membuat penegasan bahawa ‘berdasarkan prinsip-prinsip al-Quran dan Islam, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama-agama warisan Nabi Ibrahim seperti Kristian dan Yahudi adalah dibolehkan”.
Dalam pada itu, kedua-dua tokoh ini juga telah menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah juga tidak boleh disalah guna atau diselewengkan kerana ia akan memberi kesan ke atas keharmonian hubungan agama dan kaum di negara ini. Pada saat yang sama, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, turut menekankan keperluan diadakan garis panduan yang jelas bagi penggunaannya. Kata beliau, kalimah Allah hanya boleh digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Yang Tunggal, bukannya dikaitkan dengan berhala, dewa-dewa dan sebagainya.
DSHA turut menolak percubaan untuk mempolitikkan isu ini kerana ia boleh mengancam keamanan di kalangan pelbagai golongan agama. PAS mengutuk keras perbuatan mengugut dan ganas sebagai cara untuk menakut-nakutkan rakyat supaya akur dan tunduk kepada ‘terorisme berkumpulan’ baru yang berlaku kini. Kedua-dua TGNA dan DSHA turut mencadangkan jalan keluar yang berasaskan dialog dan perbincangan atas dasar sikap saling menghormati dan persefahaman di antara agama dan budaya dalam proses pembinaan-semula bangsa kita.
Saya berani menyatakan bahawa PAS kini telah muncul sebagai sebuah parti Islam yang memahami tentang perlunya wujud politik Plural dan Majmuk (Politik Li Ta’arafu) dalam landskap demokratik baru politik nasional negara ini. ‘Pendekatan Wasatiyah’ PAS ini bakal disenangi oleh semua pihak dan mengisi tuntutan ‘ruang tengah’ politk negara, sementara Islam dan Ummat Islam akan terus dipertahankan.
Juga perlu ditegaskan bahawa pendirian ini tidak diambil semata-mata untuk memenangi hati atau lebih banyak undi di kalangan orang bukan Islam. Sebaliknya PAS mendedahkan dirinya kepada penolakan oleh para penyokong tegarnya di kawasan-kawasan majoroti Melayu. Bolehkan seteru politik PAS, iaitu Umno, mengambil sikap yang sama?
Sebagai sebuah parti Islam, kami perlu melakukan apa yang “Benar” di mata al-Quran terlebih dahulu, dan setelah itu berusaha keras untuk menyesuaikannya dengan demografi kita yang sesungguhnya majmuk dan bercampur-campur itu. Benar kami perlu mengambil jalan sederhana untuk mendapat sokongan ‘ruang tengah’. Benar, kami juga perlu memenangi hati-budi orang Islam-Melayu. Namun lebih benar lagi ialah perjuangan kami untuk mencari keredhaan Allah terlebih dahulu. Kami juga mahu mewujudkan “Keadilan Untuk Semua”.
Jika dengan berbuat demikian kami kemudiannya memperoleh kepercayaan, mandat dan sokongan pengundi, maka kami ucapkan Segala Pujian hanyalah untuk Allah, Tuhan Sekelian Alam.
 Alhamdulillah!  Allahu Akbar!

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.