Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

15 December, 2009

Kenapa pemerintahan BN ini buruk pada kacamata Nizar?

Ali Hashim

KULIM, 15 Dis: "Cuba saudara bayangkan, setelah saya diisytiharkan sebagai MB Perak yang sah oleh mahkamah, tidak sampai 24 jam keputusan telah dibuat untuk diserahkan kepada Dr. Zambry buat seketika.


"Namun begitu dalam rayuan terhadap keputusan yang telah diberikan kepada Dr Zambry itu, sehingga kini belum lagi mendapat tarikh dan juga keputusan terhadap rayuan tersebut."

Perkara ini diungkit oleh anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dalam ceramahnya di Stadium Keladi, Kulim.

Ia membayangkan kekecewaan beliau terhadap sistem yang ada. Ia sentiasa memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Ekoran itu, beliau menyifatkan Umno dan BN adalah seburuk-buruk pemerintahan yang ada dalam negara ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah kepada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi, Kulim bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut Nizar lagi pemerintahan yang buruk dipamerkan oleh Umno dan BN itu telah menjadikan mereka sebagai salah sebuah kerajaan yang sentiasa penuh dengan korupsi dan ketidakadilan yang berpanjangan.

Bagi beliau, apa yang berlaku kepadanya adalah contoh ketidakcekapan dan ketidakadilan yang ada pada pemerintahan Umno dan BN dalam menangani masalah yang besar pada pandangan rakyat tetapi tidak kepada mereka.

"Mereka membelakangkan rakyat yang ada dengan menidakkan hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka terutamanya kepada negeri Perak.

"Mereka menolak suara rakyat dengan melakukan sewenang-wenangnya tindakan yang memalukan negara dengan mempertahankan kerajaan boneka mereka di negeri Perak tanpa menghormati suara majoriti rakyat negeri Perak," katanya.

Menurut beliau lagi adalah menjadi satu perkara yang menghairankan apabila pembubaran Dun Perak amat ditakuti oleh Umno dan BN.

"Sudah berkali-kali kita mendesak mereka supaya segera membubarkan Dun tetapi mereka cuba mengelak.Mereka takut untuk menerima kenyataan.

"Mereka juga takut untuk menghadapi realiti daripada rakyat. Mereka juga takut sekiranya ditolak oleh rakyat daripada terus menerajui negeri Perak secara haram.

"Kita bagi Pakatan Rakyat sudah bersedia bila-bila masa saja dan mencabar mereka membubarkan Dun sekiranya benar-benar ingin melihat negeri ini dapat ditadbir secara sah selepas mendapat mandat daripada majoriti rakyat negeri Perak,"katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tian Chua, N.Gobalakrishnan, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Syamsul Iskandar Mohd Akin, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Lim Soo Nee, Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim dan kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.