Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

17 December, 2009

Akhirnya, Harapan Menjelma

Raja Petra Kamarudin

Saya sudah banyak kali mengatakan sesiapa yang ingin membentuk kerajaan persekutuan perlu terlebih dahulu memenangi kerusi parlimen yang mencukupi di Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak mengawal 56 daripada 222 kerusi di parlimen. Ini adalah signifikan dan dengan demikian, kedua-dua negeri Malaysia Timur itu berada pada kedudukan yang unik sebagai penentu landskap politik Malaysia.

Hakikat ini tidak akan berubah kerana Sabah dan Sarawak akan sentiasa menguasai 25% dari kerusi di parlimen. Setiap kali kerajaan menambah jumlah kerusi di Semenanjung Malaysia, mereka juga perlu meningkatkan jumlah kerusi di Sabah dan Sarawak secara berkadar. Ini adalah bagi memastikan bahawa kedua-dua negeri Malaysia Timur itu akan terus menguasai 25% dari kerusi parlimen.

Nah, ini tidak bermakna bahawa jumlah penduduk Sabah dan Sarawak adalah 25% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Jadi, ada banyak contoh di mana jumlah pengundi bagi kerusi luar bandar begitu kecil berbanding dengan jumlah pengundi bagi kerusi bandar besar. 100,000 pengundi bagi kerusi bandar besar adalah perkara biasa. Empat ataupun lima kerusi luar bandar diperlukan bagi menyamai satu kerusi bandar besar.

Jadi, jika pihak pembangkang mengabaikan kerusi luar bandar, khususnya kerusi parlimen Sabah dan Sarawak, mereka sememangnya menempah maut. Pembangkang memang mampu memenangi separuh dari kerusi di Semenanjung Malaysia, tetapi selagi mereka tidak memenangi kerusi yang mencukupi di Sabah dan Sarawak, mereka takkan menjejakkan kaki di Putrajaya.

Saya sudah berkali-kali mengatakan bahawa penduduk Malaysia Timur membenci dominasi politik oleh pihak Malaysia Barat. Sabah untuk orang Sabah dan Sarawak untuk orang Sarawak adalah kata-kata keramat di Malaysia Timur. Kita perlu memberikan peluang kepada pemimpin Malaysia Timur untuk memimpin Sabah dan Sarawak. Tindakan menghantar pemimpin dari Kuala Lumpur setiap beberapa bulan ke sana untuk menggerakkan agenda perjuangan adalah tindakan yang tidak tepat.

Parti Keadilan Rakyat menyangka bahawa mereka mampu menggerakkan agenda perjuangan dan membuat segala keputusan untuk Malaysia Timur dari Kuala Lumpur. Ini adalah sangkaan yang meleset sama sekali. Tindakan mengenepikan penduduk tempatan dan melantik pemimpin dari Kuala Lumpur untuk mengepalai operasi di Sabah dan Sarawak adalah tindakan yang akan menjahanamkan masa depan politik mereka di situ.

Sehingga semalam, saya menolak kemungkinan Pakatan Rakyat mampu membentuk kerajaan persekutuan. Ini kerana saya sudah pun menolak kemungkinan kehadiran signifikan Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak. Dengan mengenepikan penduduk tempatan dan melantik pemimpin dari Kuala Lumpur untuk mengepalai operasi di Sabah dan Sarawak, maka era penguasaan Barisan Nasional akan terus bertahan.

Tetapi nampaknya, perubahan sudah pun berlaku. Nampaknya, ada orang yang telah mengejutkan para pemimpin Parti Keadilan Rakyat dari terus terlena diulit mimpi – mimpi bagi mereka tetapi igauan buruk bagi kita.


Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan 'perjanjian damai' bagi Sabah. Ini adalah sesuatu yang baik, terutama sekali apabila 'perjanjian damai' ini juga merangkumi Sarawak. Mereka kini berada di atas landasan yang betul. Syabas! Akhirnya, Anwar sedar akan realiti semasa. Ini adalah berita yang baik dalam konteks memperjuangkan perubahan.

Dr. Jeffrey Kitingan kini diberi tanggung jawab mengepalai Sabah dan Sarawak, sementara Thamrin Jaini dikekalkan sebagai Ketua Perhubungan PKR Sabah, dengan Christina Liew sebagai timbalannya. Kompromi ini meredakan konfrontasi berkenaan kepimpinan di Sabah; konfrontasi yang berlanjutan sejak dua bulan yang lalu, yang hampir-hampir memecah-belahkan parti.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Dr. Jeffrey sebagai Naib Presiden PKR yang bertanggung jawab ke atas Sabah dan Sarawak, dengan tanggung jawab merangka pelan induk bagi membangunkan kedua-dua negeri itu, dan untuk menggerakkan persiapan bagi pilihanraya umum akan datang.

Anwar berkata bahawa dia mengakui akan situasi unik penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan. "Sebagai sebuah negara, adalah mengecewakan apabila kita adakalanya gagal menghayati semangat dan prinsip Perjanjian Malaysia 1963, yang menggariskan hak-hak Sabah dan Sarawak. Ini adalah salah satu objektif utama Keadilan untuk memulihkan martabat dan kedudukan Sabah dan Sarawak dan membawa penduduknya yang pelbagai itu keluar dari lembah kemiskinan. Oleh itu, saya menggesa semua pihak untuk melupakan segala titik perpecahan dan keremehan, dan bekerja sama dengan komitmen yang segar, demi perpaduan dan keadilan," terang Anwar.

Dr. Jeffrey amat mengalu-alukan pengumuman Anwar dan mengatakan bahawa dia (Anwar) telah berusaha sedaya mungkin untuk mencapai kesepakatan bagi menyatukan puak-puak yang berbalah di Sabah. "Dia menyatukan pembangkang bagi menghadapi pilihanraya lalu dan sekarang, dia melakukan perkara yang sama dalam satu sayap kritikal partinya; sayap yang diancam perpecahan titik bengik," kata Dr. Jeffrey.

Adakah terlalu awal bagi saya untuk mengatakan bahawa saya akhirnya melihat harapan menjelma di balik igauan semalam? Saya hanya berharap bahawa harapan itu bukanlah harapan palsu. Walau bagaimanapun, marilah kita bersikap positif pada perkara ini, meskipun saya masih belum bersedia untuk melonjak kegembiraan. Sungguhpun begitu, bagi saya, berita ini tetap berita yang baik dan saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Anwar!

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.