Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

27 November, 2009

Khalid peneraju, Selangor terus unggul

Neo Chee Hua
Nov 25, 2009 06:46:22 pm

Menteri Besar Incorporated (MBI) yang diterajui oleh Khalid Ibrahim telah menjadi teras ekonomi Selangor, sejak beliau memegang tampuk pimpinan negeri itu.
Pengaruh MBI kelihatan di mana-mana, dari dasar pembangunan ekonomi, pengagihan sumber ekonomi hinggalah reformasi syarikat GLC. Malah, MBI menjadi tumpuan media baru-baru ini berikutan pembelian kembali aset hutang RM392 juta.

Khalid Ibrahim sememangnya calon terbaik untuk menerajui pembangunan ekonomi Selangor, jikalau mengambil kira latar belakang pendidikan dan pengalamannya dalam bidang korporat. Namun, seandainya penekanan diberikan secara berketerlaluan terhadap seseorang pemimpin, malah pentadbirannya tidak dipantau oleh orang awam, maka timbul persoalan "kuasa MB yang semakin berkembang" yang mungkin diakhiri dengan masalah Moral Hazard.


Selangor penting dalam ekonomi

Menurut Menteri Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Nor Mohamed Yakcop, Selangor merupakan negeri ekonomi yang terbesar di Malaysia, dengan sumbangan RM100.9 bilion dalam GDP, iaitu kira-kira 21.2% dalam ekonomi negara. Selangor juga penyumbang terbesar dalam bidang pembuatan (27%) dan pembinaan (35.5%).
Menurut maklumat Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), bilangan projek pembuatan yang diluluskan Selangor adalah tertinggi dalam negara, iaitu 1,517 antara tahun 2001-2005, bersamaan 31.5% daripada jumlah projek seluruh negara. Malah, dalam tempoh yang sama, Selangor mencatat Capital Investment sejumlah RM29.2453 bilion.

Selain itu, menurut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sepanjang tempoh RMK-8 (tahun 2001-2005), Selangor mencatat purata kadar pertumbuhan setinggi 5.2%, menjuarai 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Menurut anggaran, Selangor akan mencatat purata kadar pertumbuhan 6.2% dalam tempoh RMK-9, iaitu tahun 2006-2010, mendahului negeri-negeri yang lain.

Dari segi pendapatan perkapita, Selangor mencatat RM3,702 antara tahun 2001-2005, satu langkah di belakang Kuala Lumpur yang mencatat RM4,105. Menurut anggaran, pendapatan perkapita Selangor mungkin mampu mengatasi Kuala Lumpur dalam tempoh tahun 2006-2010 dengan RM5,175 (purata kadar pertumbuhan 6.9% setiap tahun), menjadi negeri dengan pendapatan perkapita yang tertinggi di Malaysia.

Pada masa yang sama, Selangor menduduki ranking ke-4 dalam indeks komposisi sosio ekonomi daripada 14 buah negeri (termasuk KL). Antaranya, Selangor menduduki tempat ketiga dalam Economic Index, hanya ketinggalan di belakang Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Selain itu, kadar kemiskinan Selangor hanya mencecah 1% pada tahun 2004, merupakan kadar kemiskinan yang kedua terendah di seluruh negara, selepas Pulau Pinang yang mencatat 0.3%.

Oleh itu, setelah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Selangor selepas 8 Mac 2008, kelebihan Selangor dalam bidang ekonomi telah menjadi tumpuan PR. Perlantikan Khalid Ibrahim sebagai MB oleh PR memperlihatkan strateginya untuk menjadikan kelebihan Selangor ini sebagai modal politik PR.

Latar belakang Khalid Ibrahim


Khalid Ibrahim (gambar kiri) memperoleh Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975. Sebelum Khalid berkecimpung dalam bidang politik, beliau pernah menjadi CEO di Syarikat Permodalan Nasional Berhad (tahun 1979-1994) dan Kumpulan Guthrie Berhad (tahun 1995-2003). Malah, beliau pernah dianugerahkan oleh Business Times-American Express sebagai CEO Malaysia terbaik pada tahun 1998.
Pada masa yang sama, Khalid Ibrahim pernah menganggotai Lembaga Pengarah dalam SIRIM, MIER, ISIS, NPC, dan sebagai anggota Financial Engineering Forum dan APEC.
Khalid Ibrahim paling terkenal dengan "Serangan Waktu Subuh" ke atas Bursa Saham London pada 8 September 1981, merampas Guthrie Corporation dari tangan orang Inggeris dalam masa tidak lebih daripada dua jam.
Prestasi dalam ekonomi

Jelas, latar belakang dan pengalaman Khalid Ibrahim menunjukkan bahawa ekonomi adalah kepakarannya. Misalnya, setelah Khalid Ibrahim menyandang jawatan MB, projek pelaburan baru sejumlah RM7 bilion telah diluluskan dari Mac 2008 hingga Julai 2009. Antaranya, RM2.667 bilion adalah pelaburan tempatan, malah RM4.336 bilion adalah pelaburan asing.

Projek baru yang diluluskan oleh MIDA dan MITI ini telah berjaya menawarkan 18,166 peluang pekerjaan untuk rakyat Selangor.

Selain itu, Khalid Ibrahim juga berjaya menyusun semula apa yang ditinggalkan bekas kerajaan Selangor. Menurut Laporan Ketua Audit, walaupun pelaburan saham kerajaan negeri Selangor telah menambah dari RM323.55 juta pada tahun 2004 kepada RM390.60 juta pada 2008, iaitu penambahan 20.7%, tetapi hanya mendapat pulangan dividen 0.02% secara purata dalam tempoh lima tahun yang lepas.【Baca: Untung, tapi tak bayar dividen】

Khalid Ibrahim telah mengambil langkah-langkah untuk memperbaikinya, termasuk penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri Selangor pada Mei 2008. Pengurusan tunai yang berkesan ini telah mendapat pulangan yang baik, mengekalkan status tunai dan pelaburan jangka pendek kerajaan negeri Selangor tahun 2008 pada paras yang baik.

Antaranya, pendapatan daripada pelaburan jangka pendek kerajaan negeri pada tahun 2008 telah meningkat sebanyak RM7.22juta atau 60.6%, sehingga RM19.14 juta, lantaran daripada pengurusan tunai yang berkesan ini.

Malah, Khalid Ibrahim telah merangka dasar pembangunan ekonomi yang jelas untuk negeri Selangor. Di samping itu, beliau telah mengemukakan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM50 bilion untuk menangani krisis eknomi global baru-baru ini. (Bersambung)

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.