Sudah lebih sebulan saya berada di Manila, Filipina. Berada disini untuk menyelesaikan tugas sebagai seorang fellow kepada Asian Public Intellectual (API) bagi tahun 2009-2010 untuk mengkaji sejarah pemantauan pilihanraya di Filipina di zaman diktator Marcos.
Banyak perkara-perkara yang menarik dan tidak menarik ditemui di bumi Jose Rizal ini. Disini saya menetap di Quezon City, sebuah bandar yang terbesar di dalam Metro Manila.
Manila dilaporkan mempunyai 20 juta penduduk, sudah hampir dengan keseluruhan populasi penduduk di Malaysia. Sudah pastilah bandar Manila padat dengan manusia. Manila diibarat sebagai “gula yang diharungi oleh semut” dimana bandar ini dipenuhi dengan warga berasal dari luar kota kerana peluang pekerjaan yang terdapat di Manila.
Walaupun ramai warga Filipina kerja di luar Negara — dikatakan jumlahnya sekitar 8.7-11 juta (11 % daripada keseluruhan populasi Filipina, statistik pada tahun 2007) — Manila tetap padat dengan penduduk dan tidak terasa kehilangan 11 % warga yang berada di luar negara.
Sempat juga melawat ke universiti yang utama di negara ini iaitu University of the Philippines (UP) cawangan Diliman, Queson City. Kampus ini dipenuhi dengan pokok-pokok rendang yang meredupkan suasana dari kebahangan cahaya matahari.
Yang menariknya di UP ini adalah bangunan-bangunan lama masih lagi kelihatan dan suasana “klasik” dapat dirasakan di kampus ini.
Sambil berjalan di kampus ini saya terlihat sebuah sepanduk yang bertajuk “Never Again To Martial Law! Ousts GMA!” daripada University Student Council. GMA adalah singkatan kepada nama presiden Gloria Macapagal Arroyo.
Pemerintahan GMA dikatakan mirip kepada pemerintahan Marcos cuma bezanya ialah GMA belum lagi mendeklarasikan “Martial Law” sepertimana yang dilakukan oleh Marcos sehingga tercetusnya “People Power” pada tahun 1986.
Begitu terbukanya universiti di Filipina dimana sepanduk anti presiden dibiarkan tergantung tanpa gangguan dari mana-mana pihak. Mahasiswa di Filipina tidak mempunyai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sepertimana yang dipunyai oleh mahasiswa di Malaysia. Oleh itu, mahasiswa disini bebas untuk menyuarakan pandangan politik mereka.
Kalau sepanduk seperti ini digantung di Universiti Malaya (UM) oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), sudah pasti tindakan diambil kepada persatuan tersebut.
Baru-baru ini, seorang mahasiswa UM telah bermalam di lokap untuk disiasat polis dalam kes menconteng “bini puaka”, “C4”, dan “pembunuh Altantuya” di bangunan Akademi Pengajian Islam (API). Muhammad Saufi Jelani ditahan di kampus tersebut sebaik sahaja menduduki kertas akhir peperiksaan hujung semester pada 19 November bagi melengkapkan siasatan polis terhadap insiden pada awal pagi 24 Jun lalu.
Perlukah seorang mahasiswa dilayan sebegini hanya kerana beliau mengekspresikan pandangan politiknya? Mengapa perlu polis dilibatkan dalam kes sebegini sedangkan mahasiswa ini boleh diambil tindakan Jawatankuasa Disiplin Universiti.
Beberapa orang rakan-rakan beliau telahpun dituduh di mahkamah dan Muhammad Saufi dijangkakan akan mengalami nasib yang sama.
Pada pandangan saya, kalau nak hukum mereka sekalipun, cukuplah dengan menyuruh mereka mengecat kembali tempat yang diconteng tidak perlulah sampai dibawa ke mahkamah.
Kes pembunuhan Altantuya Shariibu, seorang warga Mongolia dikaitkan dengan pemimpin tertinggi negara. Sehingga kini, pemimpin tersebut hanya bersumpah menafikan yang beliau mengenali warga Mongolia tersebut sewaktu kempen pilihanraya kecil di Permatang Pauh pada Ogos 2008. Persoalannya sekarang, apakah cukup dengan bersumpah untuk membersihkan diri? Seharusnya beliau mengambil tindakan terhadap akhbar-akhbar antarabangsa yang menyiarkan laporan negatif ini jika iainya tidak benar.
Kita seharusnya bertanya mengapakah mahasiswa-mahasiswa tersebut mempunyai persepsi yang berkenaan mengenai pemimpin tertinggi negara dan bukannya bertindak menghukum mereka.
Tambahan lagi, Malaysia sebagai sebah negara demokrasi (walaupun tidak nampak dimana demokrasinya selain daripada pilihanraya dijalankan setiap lima tahun sekali) seharusnya menghormati pandangan warganya apabila mahasiswa universiti yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Kita seringkali terdengar segelintir pihak menyalahkan “demokrasi” sebagai salah satu sebab negara seperti Filipina mundur. Tetapi tahukah kita, kemunduran Filipina bukan kerana negara tersebut merayakan demokrasi akan tetapi ia adalah legasi peninggalan Marcos.
Sewaktu Marcos diangkat menjadi presiden pada tahun 1966, hutang luar negara Filipina hanya berjumlah US$1 billion. Selepas Marcos ditendang keluar pada tahun 1986, hutang luar negara Filipina telah meningkat kepada US$28 billion.
Sewaktu pemerintahannya, wang negara telah dibelanjakan oleh beliau dan isterinya Imelda Marcos dan hanya diagih-agihkan kepada kroni-kroni terdekatnya. Pinjaman luar negara bertambah oleh kerana Marcos mahu memuaskan isteri dan kroni-kroninya.
Presiden-presiden Filipina selepas Marcos mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan hutang-hutang negara peninggalan Marcos. Apakah adil kita mengatakan Filipina mundur oleh kerana terlalu banyak demokrasi?
Bagaimana pula dengan negara-negara yang maju oleh kerana mengamalkan demokrasi seperti Taiwan dan Korea Selatan? Jepun masih lagi kukuh walaupun rakyat negara tersebut baru sahaja mengundi keluar sebuah regim yang telah memerintah lebih daripada 50 tahun.
Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh dibanggakan prestasi ekonominya tidak seharusnya dibandingkan dengan Bangladesh atau Pakistan. Bandingkanlah Malaysia dengan negara seperti Korea Selatan oleh kerana satu ketika dahulu, ekonomi Korea Selatan tidak ada bezanya dengan Malaysia.
Begitu juga dengan prestasi sukan. Malaysia pada satu ketika dahulu pernah menumpaskan pasukan bolasepak Korea Selatan dalam Sukan Olimpik. Sekarang jika dibandingkan, dimanakah letaknya taraf bolasepak Korea Selatan? Pasukan bolasepak negara tersebut telahpun bertaraf dunia.
Ruang demokrasi di Malaysia harus dibuka kembali seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Jangan sampai semakin ramai rakyat berfikir seperti seorang teman lama saya yang mengatakan bahawa, “jika rakyat Malaysia masih tidak dapat menikmati nikmat kemerdekaan dan kebebasan dirampas seperti zaman penjajah, lebih baik negara terus dijajah. Sekurang-kurangnya, kita tidak memerlukan passport untuk ke England.”
0 comments:
Post a Comment