Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

16 July, 2010

Tol Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam Mula Dikutip Sabtu Ini

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Tol di Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) akan mula dikutip mulai pukul 12.01 pagi, 17 Julai ini sejak ia dibuka kepada trafik secara percuma pada 18 Mei lepas, kata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).


LLM dalam satu kenyataan Khamis berkata Lebuhraya LKSA akan beroperasi secara sistem tol terbuka dengan menyediakan dua buah plaza iaitu Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian.

LKSA adalah sebuah lebuh raya sepanjang 14.7km yang bermula dari persimpangan bertingkat Kota Kemuning di Lebuhraya Kesas dan berakhir di persimpangan bertingkat Lebuhraya Persekutuan Kedua.



Menurut LLM sebagai langkah menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam daripada kenderaan persendirian, kerajaan telah memberikan potongan diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus kepada bas yang tergolong dalam kelas 5 apabila menggunakan semua lebuh raya tol.



Potongan harga itu telahpun dikuatkuasa sejak 15 Sept 2008 dan berakhir pada 14 Sept tahun ini.

Sehubungan itu, pemegang konsesi bagi LKSA, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah bersetuju untuk potongan harga sebanyak 50 peratus bagi kenderaan teksi (kelas 4) di Plaza Tol Alam Impian, kata LLM.



Menerusi diskaun tersebut, pengguna lebuh raya dalam kelas 4 di Plaza Tol Alam Impian hanya perlu membayar 30 sen berbanding 60 sen iaitu kadar yang ditetapkan di dalam perjanjian konsesi.



Pemberian diskaun itu merupakan antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Prolintas dan sebagai tanda sokongan terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan, kata LLM.



Pemberian diskaun untuk LKSA akan dikuatkuasa sehingga 14 Sept ini.



Kadar tol kelas 1 membabitkan kenderaan tiga dan empat roda (tidak termasuk kenderaan teksi dan bas) adalah RM1.20 sen di Plaza Tol Seri Muda (Seri Muda) dan 60 sen di Plaza Tol Alam Impian (Alam Impian), bagi kenderaan kelas 2 yang mempunyai lima atau enam roda kecuali bas ialah RM2.40 (Seri Muda) dan RM1.20 (Alam Impian).

Selain itu, bagi kenderaan kelas 3 yang mempunyai tiga gandar kecuali bas ialah RM3.60 (Seri Muda) dan RM1.80 (Alam Impian), kelas 4 yang membabitkan kenderaan teksi ialah 60 sen (Seri Muda) dan 30 sen (Alam Impian).



Bagaimanapun kadar 30 sen untuk Alam Impian bagi kenderaan teksi itu adalah selepas diskaun, kadar tanpa diskaun adalah 60 sen dan ia akan dikuatkuasa selepas 14 Sept.



Dalam pada itu, kadar tol untuk kenderaan kelas 5 membabitkan kenderaan bas ialah 60 sen di Plaza Tol Seri Muda dan 30 sen di Plaza Tol Alam Impian.



-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.