Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

16 July, 2010

Adun BN Selangor tidak berganjak, tolak jawatan pengerusi PAC


Shamsudin berkata, keputusannya tidak berubah kerana ia berkaitan dengan prinsip dan maruah sebagai wakil rakyat BN.
“Saya memang tidak terima usul tersebut kerana saya bimbang ia hanya bermotifkan politik. Bahkan Adun BN yang lain dari awal sudah menolak usul tersebut.
“Ini adalah soal prinsip dan maruah saya, jadi saya perlu mempertahankan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. hari ini.
Semalam Mohd Shamsudin menolak usul tersebut yang dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan pelantikan itu dibuat secara rasmi.
Kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Kini jawatan pengerusi PAC di Parlimen dan DUN diketuai oleh wakil kelab penyokong kerajaan manakala pembangkang pula berkhidmat sebagai anggotanya.
Shamsudin berkata sekiranya Pakatan Rakyat benar-benar serius untuk melaksanakan pelantikan tersebut maka mereka perlu buktikannya.
“Kami wakil rakyat BN akan bincang mengenai perkara ini kerana bimbang ia hanya gimik politik,” kata beliau.
Speaker DUN Teng Chang Kim berkata Shamsudin tidak boleh menolak pelantikannya kerana ia merupakan satu usul yang diluluskan oleh dewan.
“Selagi sudah diluluskan dewan, terpulanglah kepada mereka untuk terima atau tidak.
“Tetapi dari sudut dewan, usul sudah lulus melainkan ada usul untuk meminda (keputusan itu) dibentangkan,” kata Teng ketika ditanya sama ada BN boleh menolak pelantikan itu.
Semalam, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan usul pelantikan Mohd Shamsuddin sebagai Pengerusi PAC negeri dibuat berdasarkan kepentingan politik.
Beliau berkata, meskipun usul itu diluluskan oleh DUN Selangor pelantikan itu dilihat tidak memberi sebarang makna kepada usaha kerajaan negeri yang ingin mewujudkan kebebasan dalam jawatankuasa itu sebab hanya dianggotai seorang lagi Adun BN dari Semenyih, Johan Abdul Aziz manakala lima lain adalah daripada Pakatan Rakyat
.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.