Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menarik balik hasrat memberikan lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak malam semalam.
Ini merupakan satu keputusan yang tepat dan memenuhi hasrat dan permintaan rakyat Malaysia. Ia juga membuktikan pandangan yang telah dilontarkan oleh DAPSY dan pertubuhan lain yang menentang pemberian lesen tersebut memang ada asas yang kukuh dan hujah yang meyakinkan.Walaupun secara umumnya keputusan ini dialu-alukan, namun persoalan yang timbul ialah mengapa keputusan pemberian lesen ini yang sepatutnya dikeluarkan oleh kerajaan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan bukannya mesyuarat Kabinet? Apakah Majlis Tertinggi UMNO yang menentukan segala dasar kerajaan dan bukannya Kabinet yang dianggotai oleh semua wakil komponen Barisan Nasional? Di manakah semangat perkongsian kuasa yang menjadi prinsip utama Barisan Nasional?

Pucuk pimpinan MCA, MIC dan PPP telah secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap pemberian lesen perjudian sukan kepada Ascot Sports sebelum ini. DAPSY ingin mempersoalkan apakah pendirian mereka sekarang? Atau sokong sahaja sebarang keputusan yang dibuat oleh UMNO?
*Kenyataan Media oleh Anthony Loke Siew Fook selaku Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) merangkap Ahli Parlimen Rasah, pada 26 Jun 2010.
0 comments:
Post a Comment