OLEH : NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI
ALOR SETAR - Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan Negeri, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, dengan nilai pelaburan ini menunjukkan ekonomi Kedah meningkat dengan jumlah yang boleh dibanggakan.
“Sebanyak 26 projek meliputi pelbagai sektor yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat dan Negeri Kedah juga berada di tempat kelima jumlah pelaburan yang terbanyak di Malaysia.
“Pihak Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia tidak lagi mengemaskini jumlah pelaburan bagi tiga bulan terakhir,” katanya kepada pemberita.
Beliau berharap, statistik yang dikemukakan dapat menolak segala tohmahan yang mengatakan ekonomi Negeri Kedah tidak memberansangkan setelah bertukar pentadbiran kerajaan pada 2008.
Ir Amiruddin berkata, terdapat penambahan pelaburan sebanyak RM1 billion bagi pembesaran kilang Panel Solar di Taman Teknologi Kulim pada Disember lalu, dan menawarkan lebih seribu peluang pekerjaan.
“Saya berharap penduduk setempat tidak mensia-siakan peluang ini dan memanfaatkan peluang pekerjaan ini,” katanya.
Kerajaan Negeri Kedah sedang merancang program ekonomi berasaskan pertanian kerana kerajaan berhasrat muncul sebagai negeri pertanian utama atau ‘Belanda Timur’.
“Program ekonomi yang bersifat pertanian tidak hanya melibatkan kerja-kerja penternakan dan penanaman, kerja mengurus dan memproses kedua sumber itu juga merupakan program ekonomi.
“Selain itu, untuk membantu golongan petani kecil, kerajaan negeri mempastikan kelancaran pemasasaran produk pertanian dengan mewujudkan pusat pengumpulan di Daerah Kuala Muda,” katanya.
Walaubagaimanapun, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan kemajuan industri, kemodenan pembangunan dan pekembangan perkhidmatan, tetapi penekanan akan diberi terhadap pertanian memandangkan terdapat pemintaan tinggi dalam sektor tesebut.
“Bagi tahun 2010 ini kerajaan negeri bercadang untuk menambah pelaburan dalam bidang automotif, pembuatan serta industri minyak, antaranya memastikan projek loji penapisan minyak Sungai Limau Hidrokarbon Hub dapat dilaksanakan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment