Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

18 February, 2010

Ezam jadi denak tarik PKR keluar

Subky Latif
LEPAS Ezam Mohd. Nor keluar dari PKR, satu demi satu ahli-ahli PKR letak jawatan dalam parti atau keluar PKR.


Yang terakhir MP Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim keluar PKR dan jadi ahli bebas di Parlimen.

Setahun dulu dua Exco PKR di Perak sanggup jadi ADUN bebas di DUN Perak. Beberapa bulan dulu ADUN Selangor di Lembah Kelang jadi ahli bebas. Mungkin ada satu dua lagi yang seronok untuk mengikut rakan-rakannya keluar PKR menjadi ahli bebas.

Atas semua kejadian itu Ezam memberi reaksi puas hati dan menyeru lebih ramai lagi keluar. Beberapa YB itu selesa untuk tidak berparti, tetapi Ezam lebih senang terus jadi UMNO.

Apakah mereka terus sebagai ahli bebas sehingga Parlimen dan DUN dibubar atau masuk UMNO selepas ini. Jika mereka tidak masuk UMNO, sukar bagi mereka untuk jadi ADUN atau MP semula. BN hanya mencalonkan ahli UMNO.

Apapun boleh dilihat Ezam berpuas hati untuk sementara ini menjadi denak UMNO bagi menarik ahli-ahli PKR keluar parti sama ada langsung menyertai UMNO atau jadi ahli bebas dulu.

Tidak tahu apa yang menjadi Ezam begitu selesa menjadi denak. Apa yang menjadikannya tawar menentang UMNO setelah hampir sepuluh tahun menentang UMNO?

Ezam adalah Setiausaha Politik Anwar sebelumnya. Dia keluar bersama Anwar dari UMNO kerana UMNO dikira menzalimi Anwar. Sekali pun punca awalnya menentang UMNO kerana membela Anwar tetapi dari penampilannya bersama Anwar dan PKR adalah juga kerana UMNO dan BN adalah pengamal rasuah, penyeleweng dan zalim.

Dia menyimpan berkotak-kotak yang dikatakan bukti kedurjanaan UMNO dan para pemimpinnya itu. Berbagai tekanan yang dikenakan terhadapnya dan dia mula-mulanya dilihat tegas bertahan.

Bukan kerabat PKR saja yang kagum dengan Ezam, PAS dan DAP yang bersekutu dengan PKR juga bangga dengan penampilan Ezam. Orang PAS beramai-ramai mengusung Ezam ke sana sini. Mereka curahkan tenaga, masa dan wang bagi menyokong Ezam.

Ezam dan PKR minta bertanding di Shah Alam, suatu tempat yang PAS telah lama bertapak dan bina. Ia adalah kawasan yang PAS ada potensi. Ketuanya Khalid Samad yang lama dikenali malah sebelum Ezam dikenali lagi.

Kerana Ezam mahu bertanding di situ, PAS hantar Khalid ke tempat lain. Tidak salah jika saya katakan PAS menumpukan kerja kuat bagi memenangkan Ezam dan ia memberi apa yang tidak diberikan PKR kepadanya. Walaupun dia adalah bekas ahli UMNO yang berbaju PKR masa itu tetapi PAS melihatnya seperti orang PAS yang jadi ahli PKR.

Antara penampilan Ezam itu memang PAS tabik kepadanya. Kecamannya yang sarat dengan hujah, banyak yang lebih ketara dari penampilan PAS sendiri. Bagi orang awam dalam PAS, kerana kita sudah bersekutu dengan PKR, maka Ezam itu dikira sebagai pemimpin muda PAS juga. Apa yang dapat bantu, maka kita bantu. Tetapi keupayaan PAS dari segi kebendaan tidaklah sehebat yang UMNO boleh beri.

Apa masalahnya dengan Anwar dan PKR,  PAS tidak tahu. Tetapi PAS adakah pihak yang takjub dan masygul apabila dia keluar dari PKR. Maka PAS terus mendampinginya dalam kegiatan anti rasuah yang menjadi bidang kegemaran dan tumpuannya.

Kita sentiasa menerimanya sebagai rakan seperjuangan. Walau pun dia sudah dirasakan ada masalah dengan PKR dan Anwar, tetapi PAS tidak ada masalah dengannya dan dia terus diterima oleh PAS. Kalau dia sudah payah untuk berbaik semula dengan PKR, maka dia berkawan terus dengan PAS. Kalau dia mahu masuk PAS adalah pilihan yang digalakkan.

Anwar dan PKR pun tidak terasa pada PAS jika dia memilih PAS. Dari dia masuk UMNO, baiklah dia bersama PAS yang berkawan dengan PKR.

Malangnya, amat memeranjatkan dia lupa cerita rasuah dan penyelewengan UMNO dan pemimpinnya, penyelewengan BN dan pemimpin-pemimpinnya. Berkotak-kotak bukti keburukan UMNO dan BN itu dikatakan ada padanya.

Maka apakah yang katakannya itu sudah tidak wujud lagi atau tidak pernah wujud seperti yang dikatakannya?

Bukankah dia bersama dengan PKR mengira UMNO perosak bangsa dan agama?

Katakanlah Anwar dan PKR tidak mampu melakukan perubahan yang dijanjikannya. Atau katalah Anwar  dan PKR juga melakukan penyelewengan yang sama atau lebih teruk dari yang dilakukan oleh UMNO dan pemimpin-pemimpinnya, maka apakah UMNO dan BN yang dikatakan buruk dulu, tiba-tiba jadi elok dan boleh disertai?

Apakah buruk UMNO setakat ia berpemimpinkan Dr. Mahathir saja? Ia jadi elok dan bersih bila datang Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib?

Bukankah Abdullah Badawi dan Najib mewarisi segala penyelewengan yang lalu dan menokok tambah di mana-mana kemudiannya?

Bukan Ezamkah yang lantang mengata UMNO itu begitu dan begini dulu?

Apakah yang dibantu oleh Ezam bagi menjadikan UMNO dan BN itu putih molek dengan dia boleh menjadi denak bagi menarik orang keluar dari PKR.

Kemasukan Ezam ke dalam UMNO tidak nampak seperti kemasukan Anwar ke dalam UMNO dulu. Anwar pada masa itu tidak cacat dan dia masuk untuk mengambil UMNO. Tetapi Ezam jadi macam Anwar dulu?

Kalau Anwar pun mereka lambung, maka apa yang Ezam boleh dapat selain untuk mencari makan dan mendapat rezeki.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.