Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

16 January, 2010

Cap Naga: Gus Dur dan Tok Mat


Lee Phung Koon | Jan 15, 2010 04:50:46 pm

Ketika kita menyambut tahun baru 2010, dua orang ahli politik terkemuka di Malaysia-Indonesia telah meninggalkan kita.

Pemergian mereka mencungkil perbincangan dalam dunia wacana.  Pada hakikatnya, tiada hubungan antara kedua-dua orang ini, sedangkan mereka hidup di negara yang berlainan.  Apa yang menjadi persamaan antara mereka adalah darah "cap naga" yang mengalir dalam tubuh mereka.

Gus Dur, atau mantan Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid meninggal dunia pada 30 Disember 2009.  Allahyarham disemadikan dengan upacara pemakaman negara, dan Indonesia menetapkan Hari Berkabung Nasional selama tujuh hari.

Mendukung dasar progresif dan liberal


Banyak media asing, termasuk New York Times telah menyiarkan belasungkawa untuk Allahyarham.  Secara perbandingan, keadaan di Malaysia agak dingin, melainkan segelintir ahli politik muda seperti Liew Chin Tong (gambar kanan), menulis dalam kenyataannya yang berjudul Sejarah memperingati Gus Dur buat selama-lamanya:

"Sejak pemerintahan Suharto, Gus Dur tidak berhenti mengkritik politik kuku besi Suharto.  Gus Dur berdepan dengan ugutan, fitnah, malah digulingkan dari kedudukan sebagai Pengerusi Nahdlatul Ulama.  Walaupun imejnya konservatif, namun dasarnya mendukung idealisme yang progresif dan liberal.  Dalam artikelnya (Gus Dur) yang disiarkan dalam Wall Street Journal, beliau pernah menyeru agar umat dari negara dan agama yang berlainan untuk bersatu menyingkir rasa dendam-benci antara agama, dan mencegah terrorisme...


Pada masa yang sama, Gus Dur mengubal dasar yang memperlihatkan keterbukaan untuk kaum minoriti di Indonesia, memansuhkan undang-undang yang tidak adil, dan melayani setiap bangsa dengan saksama.  Sejarah akan memperingati Gus Dur yang bertungkus lumus menggerakkan pluralisme, toleransi dan pendemokrasian di Indonesia."

Ini adalah penilaian yang adil terhadap Gus Dur, walaupun ada antara kita yang masih ingat kekerapan Gus Dur melawat dari negara ke negara, gelojoh pada makanan dan mengantuk ketika mesyuarat, sehingga ada yang menyamakan Pak Lah kita dengannya
.
The Satanic Verses


Pada hakikatnya, Gus Dur sebagai pemimpin pertubuhan ulama terbesar di dunia negara Islam (iaitu Nahdlatul Ulama yang mempunyai 40 juta anggota), pemikiran dan kelakuan beliau amat bermakna untuk negara kita yang berbilang agama dan etnik. New York Times menyebut beberapa perkara seperti berikut:

Beliau membela hak kaum minoriti, komuniti bukan muslim dan kaum Cina yang diseksa.  Gus Dur (gambar kiri) menyanggah pengkritiknya, "Mereka yang menuduh saya tidak cukup Islam seharusnya membaca semula al-Quran.  Islam menganjurkan inklusif, toleransi dan perkongsian bersama."  Apabila semua pemimpin Islam di dunia menyerang The Satanic Verses, beliau adalah satu-satunya tokoh yang berani mengatakan sesuatu yang baik untuk penulisnya, Salman Rushdie.

Di negaranya, Israel dilihat sebagai musuh nombor satu.  Tetapi, pada tahun 1997, Gus Dur pergi ke Jerusalem untuk menerima satu hadiah (prize) bagi pihak bekas Presiden Israel yang dibunuh.  Setelah menyandang jawatan Presiden, Gus Dur turun menziarahi Timor-Timur, meminta maaf secara terbuka bagi keganasan yang dilakukan oleh tentara Indonesia sebelumnya.  Malah, Gus Dur cuba menggerakkan penubuhan "Suruhanjaya Kebenaran".

Cuba fikirkan, antara pemimpin yang kononnya "sederhana" di negara kita, siapa yang melaksanakan kata-katanya seperti apa yang dilakukan oleh Gus Dur?  Bukankah kebanyakan daripada mereka cakap tak serupa bikin?

Darah "cap naga"


Gus Dur (gambar kanan) berdarah orang Cina.  Malah, salasilah keluarganya berasal dari China, yang mana nenek moyangnya bermastautin di Surabaya setelah menyertai rombongan Cheng Ho pada tahun 1417.  Gus Dur boleh bertutur sedikit bahasa hokkian.  Beliau tidak pernah pantang dengan darah Cinanya.  Ini sesuatu yang amat berharga untuk seseorang ahli politik, dan inilah keistimewaannya Gus Dur sebagai tokoh politik yang jujur.

Populasi kaum Cina hanyalah 8% daripada jumlah penduduk Indonesia (menurut Wikipedia versi bahasa Cina).  Seandainya perhitungan dibuat dari persektif mengaut undi, Gus Dur tidak perlu memikat hati orang Cina.  Sememangnya, beliau membela kaum Cina atau kaum minoriti bukan kerana tubuh beliau berdarah Cina.  Untuk perkara ini, biar kita melihat pula seorang lagi yang berdarah cap naga, Tok Mat, bekas Menteri Penerangan yang meninggal dunia pada hari pertama tahun 2010.

"Seingat saya, apabila orang tua ini memerlukan sokongan orang Cina, maka beliau akan berbangga dengan darah Cinanya; apabila memerlukan sokongan orang Melayu, maka beliau berperangai lebih Melayu daripada Melayu yang tradisional," demikianlah yang disifatkan oleh seorang pemerhati politik terhadap Mohamed Rahmat.
Inilah hakikatnya.

Menyerang isteri Anwar

Terdapat satu cerita "darah cap naga" yang terkenal pada Tok Mat, meskipun bukan sesuatu yang membanggakan.  Pada Mei 1999, apabila gerakan reformasi menyemarak di masyarakat Melayu, dan pada ketika BN memerlukan sokongan orang Cina, Tok Mat yang berada di baris depan kem Mahathir cuba mencalar Anwar Ibrahim dengan mempertikaikan kelayakan Wan Azizah Wan Ismail (gambar kiri), isteri Anwar sebagai pemimpin.  Alasan yang digunakan adalah Wan Azizah melanjutkan pengajian di Singapura, malah ada darah cap naga dalam tubuhnya.

Hey, siapa yang tidak kenal bahawa kedua-dua suami isteri bos di belakang Tok Mat juga pernah menuntut di Singapura?  Meskipun darah bosnya tidak bercap naga, tetapi bercap gajah.  Tersalah bodek ini telah mengundang malapetaka, yang berakhir dengan pemecatan oleh Mahathir dari jawatan Menterinya pada bulan dan tahun yang sama.

Dalam buku tulisan Mohamed Rahmat, UMNO:Akhir sebuah impian yang diterbitkan sebelum pemergiannya, beliau tidak menafikan bahawa dirinya pernah berkata sedemikian.  Tetapi beliau menganggap apa yang diperkatakannya tidak salah.  Beliau layak untuk berkata sedemikian kerana tubuhnya juga mengalir darah cap naga.  Ibunya orang Cina (beliau dibesarkan orang Melayu), jadi beliau menganggap dirinya sebahagian daripada orang Cina.  Maka beliau boleh menegur orang Cina sebagaimana beliau menegur orang Melayu.

Sememangnya, beliau terlupa bahawa beliau mempunyai seorang isteri Teochew.  Menurut sahabat dari Johor, Tok Mat amat baik pergaulannya dengan komuniti Cina di tempatnya, Pulai.

Bezanya...


Jadi, seandainya dibandingkan dengan teliti, Tok Mat "lebih Cina" daripada Gus Dur.  Namun, beliau tidak menggunakan kuasa yang ada dalam tangan untuk melakukan sesuatu dalam masyarakat yang sarat dengan sentimen perkauman.  Bukan sahaja beliau tidak menunaikan tanggungjawab yang seharusnya, sebaliknya beliau dipertikaikan kerana menjadikan keadaan lebih parah.

Jika dibandingkan dengan Gus Dur, apa yang kurang di kalangan ahli politik di negara kita ialah "keikhlasan".  Mereka bukan sahaja tidak ikhlas kepada orang lain, malah mungkin juga tidak ikhlas terhadap diri sendiri.  Jadi, darah cap naga Tok Mat digunakan mengikut keperluan, tidak seperti Gus Dur yang konsisten.  Dan ini mungkin menjelaskan mengapa Indonesia lebih maju selepas Suharto, tetapi kita masih berlegar di tempat asal, malah semakin berundur.


*Lee Phung Koon ialah pemerhati politik yang menyumbangkan artikelnya kepadaMerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.