SHAH ALAM : Kerajaan Negeri hari ini mengeluarkan laporan bertajuk Rancangan Revolusi Hijau: Projek Bandar Alam Perdana yang bakal memberikan gambaran penuh tentang projek berkenaan yang diisytiharkan terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2006.
Laporan ini berdasarkan maklumat yang diperolehi, yang sebelum ini diklasifikasi sebagai rahsia. Sebagaimana yang saya sebutkan dalam pembentangan bajet 2010 semalam, saya boleh menggunakan hak sebagai Menteri Besar untuk mendeklasifikasikan maklumat menurut seksyen 2c Akta Rahsia Rasmi.
Laporan mengenai Projek Alam Perdana ini hanya merupakan satu daripada siri yang hendak bermula hari ini. Kesemuanya bertujuan mendedahkan kisah benar di sebalik projek yang gagal memanfaatkan Kerajaan Negeri dan rakyat tetapi menguntungkan syarikat-syarikat tertentu.
Laporan-laporan ini tidak bertujuan mencari kesalahan pentadbiran yang lalu sebaliknya sekadar menerangkan latar belakang tentang siapakah yang membuat keputusan dan bila? Siapakah yang terlibat? Siapakah yang rugi dan siapakah yang untung?
Kita mengharapkan agar laporan ini berupaya memudahkan dan menyegerakan perbincangan dengan rakyat yang terlibat dalam projek-projek yang terbengkalai kerana Pakatan Rakyat amat komited dalam usaha mencari penyelesaian yang cekap dan berkesan.
Sila teliti paparan berikut tentang latar belakang ringkas Projek Alam Perdana bermula dari Rancangan Revolusi Hijau (RRH) fasa pertama yang bermatlamat untuk menaikkan taraf hidup golongan miskin melalui kegiatan pertanian: Ia melibatkan 2,820 ekar tanah di selatan Sungai Buloh di antara Batu 20 dan Batu 28, bersebelahan Jalan Kuala Lumpur – Kepong, mukim Ijok, daerah Kuala Selangor.
Projek ini melibatkan seramai 383 peserta RRH yang kehilangan tanah mereka selepas diserahkan kepada pihak ketiga bagi tujuan pembangunan hartanah. Mereka juga tidak dibayar sepenuhnya pampasan bernilai RM360,000 yang dijanjikan oleh syarikat pembangunan rumah. Seramai 3,436 pembeli rumah sudah membayar lebih kurang RM85 juta dalam bentuk ”progressive payments” tetapi masih tidak mendapat rumah.
Yang nyata sekarang tanah yang bernilai RM375 juta dimiliki oleh sebuah syarikat persendirian yang terlibat manakala Kerajaan Selangor terpaksa menyelesaikan masalah ini ekoran kegagalan syarikat tersebut menguruskan projek ini dengan cekap dan amanah.
Kerajaan Negeri amat peka terhadap kesusahan yang dialami oleh mereka dan berhasrat untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Bagaimanapun, sebelum membentangkan cadangan tentang cara masalah ini hendak diselesaikan, amat penting semua pihak mengetahui latar belakang projek Bandar Alam Perdana.
Orang ramai boleh mendapatkan laporan secara percuma tentang Alam Perdana mulai Isnin, 16 November 2009. Ia juga boleh dilayari pada laman web rasmi LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH SELANGOR (LPHS) (http://lphs.selangor.gov.my) mulai esok 12 November 2009.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR
0 comments:
Post a Comment