SHAH ALAM, 11 Nov - Satu fail Akta Rahsia Rasmi didedahkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
Hasil pendedahan itu, 1 syarikat hartanah milik pemimpin Umno didakwa menipu 383 pemilik tanah dan 3,436 pembeli rumah di Bukit Cherakah.
Khalid menggesa orang-ramai yang telah tertipu supaya merujuk kepada dokumen ini, dan mendakwa syarikat terbabit ke muka pengadilan.
“Kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan masalah ini, tapi sebelum kerajaan negeri menyelesaikan masalah ini, kerajaan negeri ingin memberikan fakta-fakta mengenai apa yang berlaku, apa yang telah dibuat dan apa keadaan sekarang selepas itu kerajaan negeri akan membuat beberapa usaha supaya projek terbengkalai ini diselesaikan.
“Kita ada NGO yang macam persatuan peguam dan mereka boleh membantu kendalikan kes ini itulah yang kita mahu dilakukan”, jelasnya lagi.
Pada tahun 1973, kerajaan negeri Selangor memperkenalkan Rancangan Revolusi Hijau bagi membantu golongan miskin dengan memberi mereka tiga ekar tanah seorang untuk penanaman kelapa sawit.
Namun dari tahun ke tahun, agenda ini tersasar dari matlamat. Tanah Batu 20 dan Batu 28 menuju Sungai Buloh yang kini menempatkan projek Bandar Alam Perdana diambil dan dibangunkan untuk tujuan pembangunan hartanah.
Seramai 383 pemilik tanah kelapa sawit menyerahkan tanah mereka kepada pihak ketiga bagi tujuan pembangunan.
Namun apa yang menyedihkan apabila projek pembangunan di atas tanah golongan termiskin ini terbengkalai.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesahkan projek perumahan Bandar Alam Perdana yang sepatutnya siap pada tahun 2002, namun kenyataanya projek ini hanya diisytihar terbengkalai pada 2006.
Projek yang diusahakan oleh syarikat Ladang Bukit Cherakah Nominees Sdn. Bhd ini adalah milik bekas Exco Selangor merangkap Adun Jeram Miskun Sutero, yang telah meninggal dunia dua tahun lalu, dan syarikat Vega Builders Sdn Bhd.
Berdasarkan dokumen ini, 383 pemilik tanah dijanjikan pampasan 360 ribu ringgit seorang termasuk sebuah rumah bernilai 180 ribu ringgit setiap seorang.
Manakala 3,436 pembeli telah membeli 3,819 unit rumah dengan membayar wang pendahuluan kepada pihak bank.
Walaubagaimanapun pemilik tanah tidak mendapat pampasan yang dijanjikan, manakala para pembeli terpaksa menanggung hutang bank dan sewa rumah.
Syarikat pemaju terbabit juga didapati gagal menjelaskan premium tanah. Lebih dari itu, projek ini dibangunkan di atas tanah yang tidak ditukar status dari tanah pertanian kepada tanah industri.
“Hari ini kita akan mengeluarkan satu risalah mengenai Rancangan Revolusi Hijau di Bukit Perdana ini adalah satu projek pembangunan komersil tetapi kesannya kepada Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat, kita nak terangkan apa yang terjadi.
“Pada pejabat daerah ataupun pejabat Menteri Besar, ia di laman web bermula esok”, katanya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN
0 comments:
Post a Comment